X

Kindly register in order to view this article
!

BN bersama Muafakat Nasional hadapi PRK DUN Chini

Annuar (tengah) sewaktu mengadakan sidang akhbar pasca mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) dan UMNO akan meneruskan semangat kerjasama Muafakat Nasional dengan parti Pas bagi menghadapi pilihan raya kecil N23 Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Setiausahanya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerjasama Muafakat Nasional menjadi pilihan kerana UMNO telah menandatangani piagam bersama Pas bagi menggerakkan kerjasama politik.

Menurutnya, calon PRK DUN Chini juga dijangka daripada UMNO.

"Maka bagi menghadapi PRK DUN Chini, sudah tentu gagasan dan semangat Muafakat Nasional sepertimana yang kita lakukan dalam PRK sebelum ini akan diteruskan.

"Pertemuan antara dua parti itu juga sentiasa dilakukan dari masa ke masa malah pada hari ini juga diadakan pertemuan tidak formal antara pucuk pimpinan tertinggi UMNO dan Pas," katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Dewan Tertinggi BN di bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - ADUN Chini meninggal dunia

Beliau berkata, bagi menjawab persoalan sama ada BN dan UMNO akan menggerakkan kempen PRK DUN Chini bersama Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional.

Persoalan itu timbul susulan UMNO dan BN kini menjalinkan kerjasama politik dalam dua entiti pakatan politik tersebut pada ketika ini.

Annuar berkata, parti pembangkang dialu-alukan untuk terus 'menyerang' UMNO dan Muafakat Nasional susulan parti itu tidak memilih untuk menggerakkan kempen PRK bersama Perikatan Nasional.

Menurutnya, parti itu tidak bimbang dengan kemungkinan serangan parti pembangkang susulan parti itu.

"Parti pembangkang dialu-alukan untuk menyerang UMNO dan BN sepanjang kempen PRK DUN Chini kerana kita pun tidak mahu mereka menjadi bisu dan tidak mengkritik.

"Tiada masalah, kita ada cara masing-masing, kita ada gagasan BN dan pada masa sama gagasan itu tiada halangan untuk UMNO untuk bekerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional.

"Pada masa sama, kedua-dua parti dalam Muafakat Nasional itu juga turut bersama dalam Perikatan Nasional dan tiada masalah untuk perkara sebegitu dilakukan kerana tidak membawa sebarang masalah kepada kami. Bahkan ia memberi sumber kekuatan kepada UMNO dan Pas," katanya.

Dalam pada itu, Annuar menegaskan Dewan Tertinggi BN sebulat suara melantik Pengerusi BN Pahang dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai pengarah pilihan raya PRK DUN Chini.

Beliau turut memberi jaminan kempen pilihan raya digerakkan parti itu sepanjang PRK DUN Chini kelak akan mematuhi prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan ancaman pandemik koronavirus (Covid-19).

Kerusi DUN Chini kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, dari parti UMNO pada 7 Mei lalu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!