PH tangguh usul tidak percaya terhadap MB Johor

Sultan Ibrahim bertitah ketika merasmikan Persidangan DUN di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini. FOTO: Royal Press Office (RPO)
Sultan Ibrahim bertitah ketika merasmikan Persidangan DUN di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini. FOTO: Royal Press Office (RPO)
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pakatan Harapan (PH) Johor menangguhkan dahulu usul tidak percaya terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini kerana masanya tidak sesuai memandangkan sedang berdepan wabak koronavirus (Covid-19).

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, usul tersebut akan dibentangkan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir sama ada sebelum atau semasa persidangan DUN akan datang.

"Kita mempunyai angka agak besar dan kukuh (untuk menyokong usul tidak percaya terhadap Menteri Besar Johor), tunggu dan lihat. Saya dan rakan-rakan dalam PH apabila sampai waktu sesuai kita akan nyatakan dan buat tindakan berdasarkan peruntukan yang ada.

"Kita akan lakukan perubahan. Kita tidak mengambil kesempatan sekarang ini dalam keadaan Covid-19, rakyat memikirkan kehidupan, pekerjaan, masa depan dan ekonomi keluarga. Maka kami fikirkan itu (usul tidak percaya terhadap Menteri Besar Johor) bukan keutamaan ketika ini," katanya.

Sultan Ibrahim (kiri) bertemu Muhyiddin selepas perasmian Persidangan DUN di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini. FOTO: Royal Press Office (RPO)
Sultan Ibrahim (kiri) bertemu Muhyiddin selepas perasmian Persidangan DUN di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini. FOTO: Royal Press Office (RPO)

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Pembukaan Rasmi Bagi Penggal Ketiga Persidangan DUN Johor Yang Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencemar duli merasmikan persidangan DUN tersebut dengan diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim.

Hadir sama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Speaker DUN Johor, Suhaizan Ka'iat.

Artikel Berkaitan:

Aminolhuda yang juga Ketua Pembangkang Johor itu mendakwa, PH turut mempunyai sokongan ADUN Barisan Nasional (BN) yang tidak berpuas hati dan saling tidak percaya antara satu sama lain dalam gabungan Perikatan Nasional di negeri ini.

Sultan Ibrahim merasmikan Persidangan DUN di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini. FOTO: Royal Press Office (RPO)
Sultan Ibrahim merasmikan Persidangan DUN di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini. FOTO: Royal Press Office (RPO)

Mengenai titah Sultan Johor semasa perasmian DUN supaya pemimpin politik tidak 'dijangkiti' virus perpecahan, beliau berkata, tindakan itu dilakukan pemimpin BN sebelum ini hingga runtuhnya kerajaan negeri dan sudah merebak ke Perak dan Melaka.

"Mereka juga sedang membuat virus perpecahan di Kedah. Kita menjunjung kasih titah baginda dan sebab itu kita tidak buat usul tidak percaya terhadap Menteri Besar Johor sekarang. Kita tidak mahu berlaku perpecahan di kalangan pemimpin-pemimpin politik di negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga ADUN Parit Yani sedia menghadapi pilihan raya peringkat negeri bagi menyelesaikan kemelut politik yang masih berlarutan di negeri ini antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO.

Katanya, PH menawarkan mana-mana pemimpin Bersatu yang ikhlas dan bukan mempunyai kepentingan atau agenda tertentu untuk kembali bersama-sama mereka dan ada antaranya sudah menyatakan persetujuan tetapi beliau enggan mendedahkan jumlahnya.

Sultan Ibrahim (tengah) bertemu Muhyiddin (tiga dari kanan), Hasni (dua kanan) sambil disaksikan Tunku Ismail (tiga dari kiri) dan Tunku Idris (dua kiri) selepas perasmian Persidangan DUN di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini. FOTO: Royal Press Office (RPO)