Kerajaan benarkan pusat equestrian beroperasi

Ismail Sabri ketika sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra hari ini. -Foto Bernama
Ismail Sabri ketika sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan membenarkan pusat equestrian beroperasi, tetapi hanya dikhususkan kepada penjagaan atau kebajikan kuda.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat rungutan bahawa kuda-kuda tersebut berdepan dengan masalah seperti tidak diberikan makan, kandang kotor dan tiada pemeriksaan kesihatan.

"Mesyuarat hari ini membenarkan perkhidmatan berkaitan kuda termasuklah equestrian dibenarkan beroperasi.

"Ia sama seperti kebenaran kepada zoo untuk beroperasi sebelum ini. Kebenaran ini bagi tujuan menjaga kebajikan kuda-kuda ini," katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Sementara itu, setakat ini hanya penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditahan sementara untuk tujuan saringan sebelum dibenarkan pulang ke kampung berikutan dua pelajarnya yang pulang ke Sabah didapati positif Covid-19.

Ismail Sabri berkata, masih ramai pelajar di universiti itu belum pulang terutama yang berasal daripada Sabah kerana ada ada beberapa urusan penerbangan yang belum selesai.

"Sebelum ini kita rasakan dalam tempoh sebulan tentu sahaja mereka bebas daripada virus itu kerana tempoh inkubasi telah tamat tetapi tiba-tiba ada kes positif," katanya pada Sidang Media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi pelajar di universiti lain proses penghantaran pulang ke Sabah dan Sarawak masih dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Pelajar yang pulang ke negeri tersebut akan menjalani kuarantin wajib sebelum dibenarkan pulang ke rumah," katanya.

Ditanya adakah kerajaan akan mengubah Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi penerbangan domestik selepas 396 penumpang pesawat AirAsia dari Kuala Lumpur ke Tawau melalui dua penerbangan berasingan diminta tampil untuk menjalani saringan kesihatan kedua dengan segera selepas enam daripadanya didapati positif Covid-19, beliau berkata, terdapat dua SOP berbeza dalam penerbangan domestik di negara ini iaitu antara negeri di Semenanjung dan antara Semenanjung dengan Sabah serta Sarawak.

"Bagi penerbangan domestik antara negeri di Semenanjung kita arahkan hanya separuh kapasiti penumpang dibenarkan atau maksimumnya 66.4 peratus bagi tujuan penjarakan sosial.

"Bagi penerbangan ke Sabah dan Sarawak atau penerbangan luar ke Malaysia, walaupun kita benarkan penerbangan penuh bagi pesawat tetapi mereka yang tiba di negeri tersebut perlu menjalani kuarantin wajib. Untuk penerbangan dari Sabah dan Sawarak ke Semenanjung kita hanya benarkan separuh daripada jumlah penumpang menaiki pesawat," katanya.