Rakyat Kelantan ‘talian hayat’ TRW

Dalam situasi sekarang sememangnya KAFA memerlukan sokongan berbentuk sumbangan kewangan dalam kalangan peminat dan penyokong Kelantan bagi menjelaskan hutang bekas tonggak pertahanan Brazil, Cassio Francisco De Jesus.
Dalam situasi sekarang sememangnya KAFA memerlukan sokongan berbentuk sumbangan kewangan dalam kalangan peminat dan penyokong Kelantan bagi menjelaskan hutang bekas tonggak pertahanan Brazil, Cassio Francisco De Jesus.
A
A
A

MASA depan The Red Warriors (TRW) dalam Liga Malaysia (Liga-M) kini bergantung kepada rakyat Kelantan selepas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diarah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melunaskan tunggakan gaji bekas pemain importnya, Cassio Francisco De Jesus berjumlah RM629,620.28.

Bekas pemain kebangsaan dan Kelantan era 1980-an, Anizan Daud berkata, dalam situasi sekarang sememangnya KAFA memerlukan sokongan berbentuk sumbangan kewangan dalam kalangan peminat dan penyokong Kelantan bagi menjelaskan hutang bekas tonggak pertahanan Brazil berusia 30 tahun itu.

Jelasnya, dalam situasi saingan liga yang tertangguh sejak 16 Mac lalu berikutan pandemik Covid-19, beliau melihat sukar bagi KAFA untuk mencari dana tambahan kerana bergantung sepenuhnya kepada kutipan jualan tiket dan penajaan.

Anizan Daud
Anizan Daud

“Saya percaya rakyat Kelantan biarpun bukan penyokong tegar bola sepak tentunya tidak sanggup melihat KAFA berkubur daripada menyertai sebarang pertandingan pada masa depan.

“Jika berlaku hukuman ke atas KAFA, ia bukan sahaja akan mematikan hiburan nombor satu rakyat Kelantan di negara ini tetapi juga satu kerugian besar kepada pembangunan bakat muda bola sepak negeri Kelantan pada masa depan.

“Kita tahu Kelantan sememangnya memiliki ramai bakat muda dalam sukan khasnya bola sepak yang berpotensi untuk diketengahkan untuk mewakili negara pada masa depan. Sekiranya KAFA dikenakan hukuman, ia secara tidak langsung akan menjejaskan pembangunan para pelapis negeri.

“Jadi saya percaya dengan sumbangan kewangan ikhlas daripada setiap seorang rakyat Kelantan yang memiliki jati diri tinggi sahaja dapat menyelamatkan masa depan bola sepak Kelantan daripada dikenakan hukuman oleh FIFA,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Anizan juga berharap kepimpinan KAFA akan memainkan peranan lebih proaktif dalam mencari kaedah terbaik bagi melangsaikan tunggakan gaji Cassio dengan berbaki tempoh kurang dua minggu lagi.

Bagaimanapun, beliau tetap memuji inisiatif KAFA yang melancarkan kutipan derma daripada orang ramai khususnya peminat dan penyokong Kelantan sejak Sabtu lalu.

Menurutnya, pendekatan KAFA melalui Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid yang mengaktifkan usaha mendapatkan sumbangan kewangan mengikut kemampuan dalam kalangan peminat dan penyokong bola sepak Kelantan amat dipuji.

“Saya percaya sekiranya kempen ini diperhebatkan dengan penglibatan semua pihak dalam KAFA, rakyat Kelantan tidak hanya di dalam negara tetapi juga luar negara akan membantu mengurangkan beban dihadapi KAFA ketika ini,” ujarnya.