Artifak sejarah di Galeri Pangkor kena curi

Galeri Pangkor di Sungai Pinang, Pulau Pangkor kehilangan pelbagai barangan dan artifak sejarah dianggarkan bernilai lebih RM15,000 selepas didapati dipecah masuk hari ini. - Foto sumber internet
Galeri Pangkor di Sungai Pinang, Pulau Pangkor kehilangan pelbagai barangan dan artifak sejarah dianggarkan bernilai lebih RM15,000 selepas didapati dipecah masuk hari ini. - Foto sumber internet
A
A
A

LUMUT - Galeri Pangkor di Sungai Pinang, Pulau Pangkor kehilangan pelbagai barangan dan artifak sejarah dianggarkan bernilai lebih RM15,000 selepas didapati dipecah masuk hari ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, antara barangan artifak yang didakwa hilang adalah koleksi duit zaman Jepun, seterika lama dan tembikar antik serta barangan hiasan dengan ada antaranya hampir mencecah 100 tahun.

“Kesemua barangan ini berkaitan dengan Pulau Pangkor dan koleksi bernilai dalam sejarah. Ada juga barangan yang merupakan sumbangan pelancong asing yang ditinggalkan di dalam rak di galeri itu hilang.

Ini merupakan satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan merugikan bukan sahaja nilai wang ringgit, bahkan nilai kebudayaan, sejarah dan warisan Pulau Pangkor,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Shamsul Hazeman berkata, kejadian disedari pekerja galeri tersebut kira-kira jam 9 pagi tadi sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

Beliau berharap sesiapa yang terlihat atau mempunyai maklumat mengenai barangan yang hilang itu supaya menghubungi pihak MPM atau polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan. - Bernama

Artikel Berkaitan: