X

Kindly register in order to view this article
!

Macau Scam: Lelaki rugi RM141,590

A
A

KUANTAN - Seorang lelaki mendakwa kerugian RM141,590 akibat diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan syarikat telekomunikasi dan pegawai polis sejak bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 59 tahun mendakwa menerima panggilan telefon pada 27 April lepas daripada seorang lelaki kononnya dari syarikat telekomunikasi yang mahu membuat semakan talian.

“Suspek semasa itu mendakwa pihaknya menerima aduan bahawa talian telefon itu digunakan untuk kegiatan perjudian haram dan mangsa diarahkan untuk menghubungi pegawai polis bagi siasatan lanjut.

“Pegawai itu dikatakan menghantar pesanan WhatsApp kepada mangsa beberapa hari kemudian mendakwa namanya sudah disenarai hitam dan perlu menyerahkan butiran peribadi perbankan miliknya kepada polis,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang bimbang dikenakan tindakan undang-undang juga mendakwa diminta untuk berkongsi kod pengesahan transaksi (TAC) yang dihantar ke telefon bimbitnya atau berdepan dengan risiko kehilangan wang simpanan.

Bagaimanapun, mangsa mendakwa semakan terhadap baki akaun banknya semalam, mendapati terdapat empat transaksi pemindahan wang secara dalam talian dilakukan tanpa pengetahuannya sejak 28 April hingga 4 Mei lepas menyebabkan mangsa menghubungi ‘pegawai polis’ itu bagi meminta penjelasan.

Mangsa mendakwa suspek memaklumkan wang itu perlu dipindahkan bagi tujuan siasatan dan akan dipulangkan semula namun mangsa tidak berasa sedap hati menyebabkan dia membuat laporan di Balai Polis Mentakab, Temerloh dekat sini semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!