'Alhamdulillah, aku dah jadi bapa'

Dua ekor anak burung ditemui dalam kasut Mohd Faiz.
Dua ekor anak burung ditemui dalam kasut Mohd Faiz.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang staf sebuah universiti di sinii terkejut apabila menemui dua ekor anak burung dalam kasut kerjanya semalam.

Mahu dikenali Mohd Faiz, 33, beliau berkata, semasa bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac, beliau mula perasan kelibat seekor burung terbang dari rak kasutnya.

"Saya dah perasaan dari mula PKP, bila saya keluar rumah, ada burung terbang dari rak kasut tapi tak mengetahui jenis burung.

"Bila saya periksa beberapa kasut dan terkejut salah satu kasut kerja, dalamnya ada dua biji telur. Jadi saya ambil pendekatan tak mahu kacau, bimbang ibu burung perasan," katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, selepas dua bulan tidak menghiraukan kewujudan telur burung itu, semalam dia tergerak hati untuk meninjau perkembangan telur tersebut.

"Semalam tergerak hati nak tengok balik kasut itu dan terkejut, dua ekor anak burung yang masih kecil. Mungkin spesis merbuk atau murai.

"Bagaimanapun saya tidak berhajat mahu membela kerana tak pandai. Takut jadi apa-apa pada anak burung itu. Saya biarkan sahaja, biar ibu burung menjaganya," katanya.

Sebelum ini, ciapan Mohd Faiz iaitu, "Alhamdulillah, hikmah PKP, aku dah jadi bapa" tular di Twitter ekoran menemui dua ekor anak burung berwarna hitam di dalam kasutnya.

Artikel Berkaitan:

Pada 30 April lalu, beliau juga memuat naik ciapan, "Sebab PKP lama sangat, kau tengoklah sendiri. Biar gambar berbicara, itu dalam kasut aku" merujuk kepada satu foto dua biji telur ditemui dalam kasutnya.