NUTP rayu guru dibenarkan terus bertugas dari lokasi semasa

NUTP
NUTP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) meminta Kementerian Pendidikan memberi kelonggaran kepada guru terkandas di kampung untuk terus berkhidmat di kawasan tersebut sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Setiausaha Agungnya Harry Tan Huat Hock berkata, ini kerana tiada keperluan mendesak untuk guru berada di stesen bertugas iaitu kediaman terdekat dengan sekolah memandangkan klien utama iaitu murid masih lagi dicutikan.

“Proses Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dari rumah masih berjalan dengan baik sekalipun guru berada di luar stesen.

“Pelaksanaan PdPC juga dipantau dengan baik oleh pihak pejabat pendidikan daerah setiap hari dan mempunyai data yang jelas iaitu jumlah log masuk guru dan pelajar melalui medium pembelajaran Kementerian Pendidikan iaitu Google Classroom,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bernama pada Ahad melaporkan terdapat arahan daripada pengetua dan guru besar (PGB) supaya guru kembali ke stesen bertugas masing-masing iaitu di kediaman terdekat dengan sekolah kerana semua pejabat kerajaan telah dibuka bermula pada 4 Mei termasuk premis sekolah.

Huat Hock turut mendakwa tiada arahan jelas mengenai tugas yang perlu dilaksanakan ketika berada di stesen bertugas selain daripada tanggungjawab hakiki iaitu menjalankan PdPC secara maya.

“Oleh itu, NUTP merayu agar Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia dapat memberi kelonggaran kepada guru-guru yang ingin terus berada di luar stesen berkhidmat sepanjang PKPB tanpa dikenakan sebarang tindakan tatatertib,” katanya.

Selain itu, Huat Hock juga berharap Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin dapat memastikan setiap maklumat atau arahan yang dikeluarkan kementerian tidak disalahtafsirkan tujuannya oleh ketua-ketua jabatan di setiap peringkat.

Artikel Berkaitan:

“Arahan yang terlalu rencam dan berbeza daripada setiap bahagian menyebabkan guru sukar untuk memastikan bahawa arahan tersebut adalah arahan terus daripada kementerian atau sebaliknya.

“Ini kerana kebanyakan arahan oleh ketua jabatan hanya melalui capaian aplikasi Telegram atau WhatsApp tanpa ada dokumentasi bertulis seperti yang diamalkan oleh agensi-agensi lain,” katanya. - Bernama