Ahli Majlis MBIP peka isu banjir kilat

Abd Rashid (kanan) ketika meninjau keadaan banjir kilat di Kampung Tuah Jaya baru-baru ini.
Abd Rashid (kanan) ketika meninjau keadaan banjir kilat di Kampung Tuah Jaya baru-baru ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Zon Perling, Datuk Abd Rashid Kasman menjelaskan pihaknya sudah mengenal pasti punca banjir kilat di Kampung Tuah Jaya dan berusaha untuk segera menyelesaikannya.

Menurut beliau, isu banjir kilat berkenaan berpunca daripada ulu Sungai Danga dan laluan air dari longkang yang cetek menyebabkan air mengalir perlahan turun ke sungai dan laut.

"Akibatnya kuantiti air yang banyak mengalir dari Taman Nusa Duta, Taman Nusa Bistari dan Jalan Panglin Taman Perling melalui ke sungai yang sama.

"Berikutan keadaan itu menyebabkan berlaku limpahan air Sungai Danga ke kawasan Kampung Tuah Jaya pada akhir bulan lalu," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Abd Rashid (kiri) bersimpati dengan nasib penduduk di Kampung Tuah Jaya yang terpaksa berdepan dengan isu banjir kilat di kawasan mereka.
Abd Rashid (kiri) bersimpati dengan nasib penduduk di Kampung Tuah Jaya yang terpaksa berdepan dengan isu banjir kilat di kawasan mereka.

Pada 24 April lalu, lebih 80 rumah di kampung berkenaan ditenggelami banjir kilat apabila hujan lebat lebih dua jam melanda.

Ujar Abd Rashid, bagi menyelesaikan permasalahan banjir kilat di Kampung Tuah Jaya, kerja-kerja mendalamkan sungai perlu dilakukan dengan segera dan sistem perparitan di kampung berkenaan juga perlu dinaik taraf.

"Saya telah membawa permasalahan ini untuk perhatian pihak MBIP dan kerajaan negeri serta berharap terdapat peruntukan segera bagi menyelesaikan isu itu.

Artikel Berkaitan:

"Mengikut rekod, kali terakhir kerja-kerja mendalamkan sungai dan penyelenggaraannya dilakukan pada 2016 menggunakan peruntukan Ahli Parlimen Pulai ketika itu iaitu Datuk Nur Jazlan Mohamed," jelasnya.

Beliau berkata, makluman daripada penduduk menjelaskan selepas kerja-kerja penyelenggaraan utama berkenaan, selepas masalah banjir kilat di kawasan itu kerja berkurangan sejak empat tahun lalu.

"Untuk tahun ini sudah tiga kali banjir kilat berlaku di Kampung Tuah Jaya dan saya bersimpati dengan nasib penduduk.

"Insya- ALLAH saya akan cuba sedaya upaya untuk menyelesaikannya secepat mungkin," kata Abd Rashid.