Sultan Nazrin sebak zahir penghargaan buat frontliners

Sultan Nazrin berdiri bersama-sama warga Dewan Negeri Perak memberikan tepukan penghargaan kepada petugas barisan hadapan ketika Perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak ke-14 di Dewan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Sultan Nazrin berdiri bersama-sama warga Dewan Negeri Perak memberikan tepukan penghargaan kepada petugas barisan hadapan ketika Perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak ke-14 di Dewan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan penghargaan dalam keadaan sebak buat semua petugas barisan hadapan khusus barisan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertungkus lumus memastikan penularan pandemik Covid-19 dikawal.

Baginda bertitah, walaupun prasarana perubatan sektor awam negara dan peralatan yang mampu dibekalkan sangat terbatas, KKM membuktikan mereka mempunyai barisan petugas yang berpengetahuan, berpengalaman dan amat berdedikasi serta komited menyempurnakan amanah.

Jelas baginda, kakitangan KKM membuktikan kepada rakyat bahawa mereka merupakan aset amat berharga kepada negara dan bangsa.

"Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha menangani wabak Covid-19, terdiri daripada warga kerja Jabatan Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jawatankuasa Keselamatan Negeri, Pegawai Daerah, para penjawat awam yang masing-masing berperanan penting sebagai petugas barisan hadapan begitu juga Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran dan badan-badan media, berperanan penting menyampaikan maklumat, panduan dan nasihat melalui berita yang disiar dan dilaporkan.

"Beta menghargai pelbagai bantuan dan sumbangan, berbentuk material, tenaga, perkhidmatan dan masa yang dihulurkan oleh pertubuhan-pertubuhan agama, pihak swasta, badan-badan profesional, badan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat dan individu. Setiap seorang daripada mereka telah membuktikan semangat patriotisme yang amat tinggi membantu usaha kerajaan untuk melindungi keselamatan kesihatan setiap warga," titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut memuji rakyat Malaysia yang bersatu hati merentasi sempadan agama, kaum, politik dan sosial ketika menghadapi krisis nasional ini.

Titah baginda, rakyat perlu faham tujuan di sebalik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan mematuhi nasihat yang diberikan oleh tenaga pakar daripada Kementerian Kesihatan.

"Pengorbanan setiap seorang daripada warga amat diperlukan untuk membolehkan negara secepat mungkin berjaya menewaskan ancaman yang sedang menyerang kehidupan warga, yang menjejaskan alam pendidikan anak-anak di bilik darjah dan para siswa-siswi di dewan kuliah, serta yang mengganggu dunia pekerjaan warga.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH kejayaan warga menangani ancaman ini secara berkesan, akan membolehkan negara kembali membina kejayaan hari esok dan masa hadapan yang lebih gemilang," titah baginda lagi.

Sementara itu, sebagai penghargaan, Sultan Nazrin turut berdiri bersama semua yang berada di dalam Dewan Undangan Negeri berdiri memberikan tepukan sebagai tanda apresiasi kepada wira-wira negara yang berada di barisan hadapan menangani ancaman virus Covid-19.