50 peratus bekas banduan di Pahang diterima bekerja

Ab Basir (tengah) mahu lebih ramai syarikat di Pahang tampil menawarkan peluang pekerjaan kepada bekas banduan menerusi PSB di Penjara Penor hari ini.
Ab Basir (tengah) mahu lebih ramai syarikat di Pahang tampil menawarkan peluang pekerjaan kepada bekas banduan menerusi PSB di Penjara Penor hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Lebih 50 peratus bekas banduan di dua penjara di negeri ini diterima bekerja dengan syarikat swasta dalam pelbagai sektor.

Pengarah Jabatan Penjara Pahang, Datuk Ab Basir Mohamad berkata, penerimaan peluang pekerjaan itu dinikmati bekas banduan menerusi Program Penempatan Semula Banduan (PSB) yang dilaksanakan sejak tahun lalu.

"Tahun lalu lebih 40 bekas banduan diterima bekerja dengan beberapa syarikat swasta dalam pelbagai sektor di Pahang termasuk beberapa negeri lain.

"Jadi ini sudah cukup membuktikan bekas banduan juga memiliki masa depan sekaligus dapat membantu mereka membina kehidupan baru dengan pendapatan tetap secara berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan sembilan bekas banduan Penjara Penor kepada empat syarikat pembersihan yang turut dihadiri Pengarah Penjara Penor, Datuk Abu Hasan Hussain hari ini

Menurutnya, menerusi program itu diharapkan lebih banyak syarikat di Pahang tampil menawarkan peluang pekerjaan kepada bekas banduan.

"Setakat ini terdapat kira-kira 6,000 banduan menghuni Penjara Penor dan Penjara Bentong termasuk Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10 yang terlibat dengan pelbagai kesalahan dan menjalani hukuman penjara serta sebatan," katanya.

Ab Basir berkata, kajian yang dilakukan pihaknya mendapati peratus bekas banduan kes dadah kembali menjadi menagih lebih tinggi apabila mereka pulang kampung selepas dibebaskan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas bertemu rakan lama pasti mereka akan kembali menagih. Jadi, bagi mengelak kesalahan berulang, kita harap lebih banyak syarikat tampil terima bekas banduan sebagai kakitangan mereka.

"Mereka ini (bekas banduan) mempunyai kemahiran tertentu menerusi pelbagai latihan yang diberikan seperti kimpalan, memotong rumput, pertanian, ternakan dan mengendalikan jengkaut yang dipelajari sepanjang menjalani hukuman.

"Malah ada segelintir banduan memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan kemahiran mereka meletakkan golongan berkenaan sebagai tenaga mahir dan separuh mahir," katanya.