Dua jam terperangkap dalam kolam ikan

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis menggunakan bantuan jentolak untuk mengalih dan menstabilkan lori sebelum mengeluarkan mangsa yang terperangkap.
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis menggunakan bantuan jentolak untuk mengalih dan menstabilkan lori sebelum mengeluarkan mangsa yang terperangkap.
A
A
A

BERUAS - Seorang pemandu lori dan kelindannya terperangkap hampir dua jam selepas lori dinaiki terhumban dalam sebuah kolam ikan di Felcra Batu 12, Changkat Keruing, Pantai Remis di sini hari ini.

Kedua-dua mangsa berusia 37 dan 20 tahun itu pada mulanya cuba dikeluarkan orang awam, namun gagal sebelum meminta bantuan anggota bomba.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, panggilan berhubung kejadian itu diterima pada jam 7.20 malam.

Menurutnya, laporan awal mendapati, kejadian dipercayai berpunca selepas lori membawa muatan udang itu hilang kawalan sebelum terbalik ke dalam kolam terbabit.

"Anggota terpaksa menggunakan bantuan jentolak untuk mengalih dan menstabilkan lori sebelum mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan itu," katanya.

Kedua-dua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki dan telah diserahkan kepada petugas kesihatan untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi menyelamat tamat pada jam 9.28 malam," katanya.

Artikel Berkaitan: