X

Kindly register in order to view this article
!

Empat pengerusi baharu agensi KPLB

Kementerian Pembangunan Luar Bandar
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengumumkan pelantikan empat pengerusi baharu bagi agensi di bawahnya berkuatkuasa pada 15 Mei 2020.

Lantikan ini adalah bagi jawatan-jawatan Pengerusi di Mara Incorporated (Mara Inc) merupakan syarikat yang terlibat dalam bidang hartanah, Pelaburan Mara Berhad (PMB) dalam bidang perkhidmatan kewangan, Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) institusi yang terlibat dalam bidang pendidikan dan Pusat Pembangunan Rekabentuk Malaysia Sdn Bhd (DDEC) dalam bidang perkhidmatan perniagaan khususnya reka bentuk dan kreatif.

Menurut menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, empat pengerusi yang baharu dilantik ialah Prof Emeritus Datuk Dr Sukiman Sarmani sebagai Pengerusi Universiti Teknikal Mara Sdn Bhd (Unitek-Mara); Datuk Seri Ahmad Azizi Ali sebagai Pengerusi Mara Incorporated (Mara Inc); Datuk Azrulnizam Abdul Aziz sebagai Pengerusi Pelaburan Mara Berhad (PMB) dan Burhanuddin Md Radzi sebagai Pengerusi Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia Sdn Bhd (DDEC).

“Kesemua pengerusi yang dilantik ini mempunyai ketokohan, keupayaan, kepakaran dan pengalaman yang luas serta menjiwai semangat perjuangan dalam merealisasikan visi dan misi di setiap agensi bawah KPLB.

“Melalui pelantikan dan pendekatan baharu ini juga, kementerian yakin Mara dan subsidiarinya akan terus dipacu dengan membawa aspirasi dan agenda perjuangan membangunkan sosioekonomi bumiputera.

“Ia bagi memastikan tiga sektor utama Mara meliputi keusahawanan, pendidikan dan pelaburan akan digerakkan secara seimbang dan menjadi teras strategik dalam membawa agenda Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Abd Latiff berkata, KPLB mengucapkan tahniah dan mengharapkan pengerusi dilantik dapat memberikan perkhidmatan yang cemerlang untuk kemajuan agensi pada masa akan datang.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus