Marahkan isteri, rumah dibakar

Keadaan sebuah rumah di Taman Hijau, Sitiawan yang hangus dibakar seorang lelaki selepas berang ditegur isteri.
Keadaan sebuah rumah di Taman Hijau, Sitiawan yang hangus dibakar seorang lelaki selepas berang ditegur isteri.
A
A
A

MANJUNG - Seorang lelaki bertindak membakar rumahnya sendiri selepas berang ditegur isteri kerana pulang dalam keadaan mabuk dalam satu kejadian di Taman Hijau, Sitiawan di sini, malam tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 11.45 malam itu, lelaki berusia 40-an itu dikatakan turut membuat bising sehingga mengganggu jiran yang sedang tidur.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, tidak berpuas hati dengan teguran isterinya, suspek telah masuk ke dalam rumah dan membakar bahagian dalam rumah itu.

"Semasa api marak, suspek telah melarikan diri melalui pintu belakang dan usaha memburu lelaki itu sedang dijalankan.

"Sebelum membakar rumahnya, suspek juga telah melanggar pintu pagar, motosikal dan tiang bumbung rumah jiran dengan pacuan empat roda Nissan X-trail," katanya.

Menurutnya, anggota bomba yang tiba di lokasi berjaya memadam kebakaran dan tidak melibatkan kemalangan jiwa.

"Pemeriksaan mendapati, hampir 50 peratus bahagian dalam rumah termasuk perabot hangus dan rosak membabitkan kerugian anggaran RM18,000," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan polis di rumah berkenaan menemui sepucuk pistol tiruan yang berkarat dan sedikit terbakar di sebuah bilik rumah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Suspek mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah, kes kini disiasat di bawah Sek 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api," katanya.