TRW Lembah Klang sahut seruan KAFA

Laporan Sinar Online kelmarin.
Laporan Sinar Online kelmarin.
A
A
A

Penyokong The Red Warriors (TRW) memberi jaminan akan berusaha membantu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) melunaskan pembayaran tunggakan gaji bekas pemain importnya, Casio Francisco De Jesus yang berjumlah RM629,620.28

Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors (TRW) Lembah Klang, Mohd Faizal Hasbi berkata, biarpun bantuan yang akan disumbangkan tidak seberapa, namun percaya bantuan itu dapat meringankan sedikit beban ditanggung KAFA pada ketika ini.

Bagaimanapun menurut Mohd Faizal, pada masa sama KAFA perlu proaktif mencari sumber lain bagi mencukupkan jumlah pembayaran tunggakan gaji berkenaan.

“Dalam keadaan sekarang terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan liga kita pun sudah jadi kelam kabut. Benda ini pun jadi pada pasukan lain bukan Kelantan sahaja cuma ia tidak diwar-warkan di media.

“Selama ini pun memang penyokong setia Kelantan dari seluruh negara membantu dalam soal-soal kebajikan dan sebagainya, tetapi dalam keadaan liga sekarang pun dilihat akan memainkan peranan kepada penyokong untuk membantu.

“Apa pun, insya-ALLAH, kita akan cuba membantu dengan menderma kepada akaun yang disediakan, cumanya mungkin tidak seberapa dan KAFA kena mencari lagi dari sumber lain juga bagi mencukupkan jumlah bayaran yang dikehendaki,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Faizal
Mohd Faizal

Mohd Faizal berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan media Jawatankuasa Bertindak KAFA semalam yang merayu bantuan orang ramai terutamanya penyokong Kelantan untuk bersama menyumbang dalam usaha membayar tuntutan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) mengarahkan KAFA untuk membayar tunggakan pembayaran gaji berkenaan kepada Casio Francisco yang beraksi pada musim 2018-2019 lalu dan memberikan tempoh selama 30 hari mulai 23 April lalu untuk berbuat demikian.

Orang ramai terutamanya penyokong Kelantan boleh menyalurkan derma kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan secara atas talian (online) kepada nombor akaun 5530 1063 0676 (Maybank).

KAFA juga akan memaklumkan mengenai jumlah kutipan ini dari masa ke semasa kepada penyokong dan resit derma juga boleh dihantar melalui WhatsApp ke nombor 013-928 3293.

Sementara itu, Mohd Faizal berkata, bantuan ini bukan kali pertama berlaku kerana ia pernah dilakukan pada musim 2012 lalu.

Katanya, bantuan derma pada ketika itu dibuat bagi membantu KAFA membayar denda kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berikutan insiden kekecohan yang berlaku melibatkan penyokong Kelantan.

“Ketika itu, Kelantan pasukan yang kuat dan Presiden KAFA (ketika itu), Tan Sri Annuar Musa pernah berkata, pihaknya menerima sekiranya penyokong menyalurkan sumbangan serendah lima sen kepada pasukan.

“Tetapi sekarang keadaannya berbeza dan diharap sumbangan yang dihulurkan dapat membantu sedikit KAFA,” katanya.