300 asnaf terima sumbangan DRAS

Basith (kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima DRAS.
Basith (kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima DRAS.
A
A
A

PETALING JAYA - Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyampaikan sumbangan kepada 300 penerima terdiri daripada kalangan asnaf fakir, miskin dan mualaf menerusi Program Dapur Ramadan Asnaf Selangor (DRAS) hari ini.

Program yang berlangsung di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mentari 3 itu merupakan inisiatif bagi menyantuni golongan memerlukan khususnya pada bulan Ramadan ini sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusof berkata, program DRAS ini telah bermula sejak awal sambutan Ramadan lalu melibatkan beberapa daerah antaranya Kuala Langat, Gombak, Petaling, Klang, Sabak Bernam dan Sepang.

"Program ini adalah bagi memastikan kebajikan golongan fakir terjamin menerusi penyaluran keperluan barangan dapur dan keperluan asas.

"Apatah lagi, PKP ini membataskan pergerakan mereka untuk mendapatkan barangan keperluan asas," katanya kepada Sinar Harian selepas penyerahan bantuan berkenaan semalam.

Hadir sama sewaktu program tersebut adalah Ahli Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Dr Mohd Farid Ravi Abdullah dan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid.

Dalam pada itu, Saipolyazan berkata, LZS turut menggalakkan pembayar zakat agar dapat terus memainkan peranan masing-masing dalam menunaikan tanggungjawab mereka menerusi beberapa platform saluran pembayaran yang disediakan sebelum ini.

"LZS mengharapkan pembayar zakat dapat terus membantu golongan memerlukan ini kerana kami menjangkakan sehingga akhir tahun ini terdapat peningkatan sebanyak 10,000 asnaf di Selangor susulan daripada penularan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Jika sebelum ini, LZS sasarkan Selangor hanya 70,000 keluarga fakir miskin hingga akhir tahun 2020 namun sejak Covid -19, kita jangkakan jumlah itu bertambah kepada 80,000," katanya.

Katanya, LZS menyalurkan bantuan keperluan asasi kepada lebih 14,000 asnaf fakir, miskin dan mualaf pada setiap bulan dan inisiatif ini melibatkan agihan zakat sebanyak RM1 juta.