PKPD Jalan Othman: Kerajaan Selangor terus pantau keperluan penduduk

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan terus menyelaras dan memantau pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar kawasan Pasar Jalan Othman menerusi kerjasama dengan beberapa agensi berkaitan.

Difahamkan penyelarasan itu akan dilaksanakan membabitkan Bilik Gerakan Covid-19 Negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Petaling, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) serta Pusat Khidmat DUN Bukit Gasing.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerajaan Selangor akan memantau aspek keperluan bekalan makanan lebih 2,900 penduduk yang akan terkesan ekoran pelaksanaan PKPD di kawasan itu.

"Kerajaan negeri juga ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas persetujuan pelaksanaan PKPD di sekitar kawasan pasar Jalan Othman sebagaimana yang diumumkan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat pengumuman mengenai pelaksanaan PKPD di Jalan Othman itu berkuat kuasa mulai hari ini hingga 23 Mei.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pelaksanaan PKPD itu diambil susulan catatan jumlah kes yang agak tinggi direkodkan di kawasan berkenaan sebelum ini.

"Malah PKPD ini juga bagi membolehkan saringan komuniti dilaksanakan di kawasan tersebut oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

"Sehubungan dengan itu, kerjasama semua penduduk bagi memastikan pelaksanaan PKPD ini berjalan lancar adalah amat diperlukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pelaksanaan PKPD di Jalan Othman membabitkan tiga zon iaitu Zon A​ melibatkan Jalan Penchala; Jalan 4/33; Jalan 4/37; Jalan 4/39; Jalan 4/41; Jalan 4/44; Jalan Terus 4/42; Jalan 4/43; Jalan 4/46 dan Jalan Othman 4/4D.

Zon B​ melibatkan Jalan 2/29; ​ Jalan 2/29A; Jalan 2/27; Jalan 2/32;​ Jalan 2/25; Jalan 2/26; Jalan 2/34; Jalan 2/34A; Jalan 2/23; Jalan Dispensary 2/38 dan​​ Jalan Pasar 1/21.

Zon C​ melibatkan Jalan Selangor; Lorong 3/57D;​ Lorong 3/57C; Jalan RIDA 3/56 dan Jalan Sentosa 3/57.