PKPB: Semua pasar raya di Timur Laut patuh SOP

Soffian bertanyakan sesuatu kepada salah seorang pembantu jualan ketika meninjau salah satu pasaraya yang terletak dalam daerah Timur Laut.
Soffian bertanyakan sesuatu kepada salah seorang pembantu jualan ketika meninjau salah satu pasaraya yang terletak dalam daerah Timur Laut.
A
A
A

GEORGETOWN- Semua 13 pasar raya di daerah Timur Laut didapati mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mula dilaksanakan di Pulau Pinang, 8 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kadar pematuhan bagi semua pasaraya di daerah ini mencapai sehingga 85 peratus.

Menurutnya, sehingga kini, tiada lokasi berisiko yang dikenalpasti berikutan semua premis termasuk kedai dan kedai runcit mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Sebanyak 15 pasukan pemantau ditugaskan untuk melakukan tinjauan dan pemantauan di 13 pasaraya di daerah ini, setiap hari bermula jam 8 pagi sehingga 10 malam. Ia bagi memastikan pengusaha di setiap 'outlet' mengamalkan SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Dalam pemantauan dilakukan, semua pemilik premis mematuhi SOP antaranya pengusaha kedai pakaian telah menutup ruangan bilik persalinan. Ada juga yang sudah menggunakan kod QR untuk memastikan pelanggan mengisi butir-butir peribadi sebelum memasuki satu-satu outlet untuk urusan jual beli,” katanya kepada media.

Terdahulu, Soffian membuat tinjauan di salah sebuah pasar raya di Jalan Magazine di sini, tengah hari tadi.

Tambahnya, pihak pengurusan pasar raya dinasihatkan mengamalkan SOP yang ketat iaitu sentiasa memastikan 'handrail’ di setiap eskalator disanitasi sekurang-kurangnya sejam sekali.

"Pemegang atau 'handrail' eskalator perlu dicuci dan disanitasi dengan menggunakan cecair pembasmi kuman sekurang-kurangnya satu jam sekali sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak koronavirus (Covid-19). Walaupun tiada kawasan berisiko dikenal pasti, polis akan sentiasa membuat pemantauan dari masa ke masa.

Artikel Berkaitan:

"Bukan setakat pasukan pemantau, kita juga menambah lapan kepada 16 pasukan dari unit ronda bermotosikal (URB) untuk melakukan rondaan 24 jam di lima zon rondaan antaranya di kawasan pasar awam, kedai-kedai kaki lima seluruh daerah ini,” katanya.