Pindah balak ketika orang berbuka puasa

Lori yang disita pihak PHD Rompin selepas berjaya menahan dua lelaki sewaktu membuat intipan di Kompleks Komuniti Ladang Risda Keratong, kelmarin. - Foto ihsan PHD Rompin
Lori yang disita pihak PHD Rompin selepas berjaya menahan dua lelaki sewaktu membuat intipan di Kompleks Komuniti Ladang Risda Keratong, kelmarin. - Foto ihsan PHD Rompin
A
A
A

KUANTAN - Pejabat Hutan Daerah Rompin berjaya memberkas dua pemandu lori yang cuba memindahkan 400 balak pelbagai spesies selepas lima jam melakukan intipan di simpang Kompleks Komuniti Ladang Risda Keratong, kelmarin.

Pegawainya, Shairani Mamat berkata, kedua- dua lelaki berusia 31 tahun itu cuba memindahkan balak itu untuk dipasarkan ke negara jiran.

Menurutnya, intipan itu dilakukan Unit Tindakan Khas (UTK) Rompin selepas mendapat aduan awam berhubung aktiviti pemindahan balak yang dilakukan pada waktu berbuka puasa.

"Dua pemandu terbabit di tahan untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. Lori mereka kini disita di Pejabat Renjer Hutan Muadzam Shah.

"Kita juga merampas lebih 400 balak pelbagai spesis seperti meranti, kelat, keranji dan kedondong. Balak itu berukuran 2.44 meter panjang itu dipercayai cuba dihantar ke kilang papan di negeri jiran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan hutan dan hukuman di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 akan dikenakan terhadap mereka yang didapati bersalah.

Dalam pada itu, Shairani berkata, walaupun kini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Ramadan namun aktiviti penguatkuasaan tetap dijalankan terutama membabitkan kawasan panas di daerah ini.

Katanya,kerjasama daripada orang awam amat dihargai kerana tindakan dilakukan itu mampu mematahkan kegiatan haram pembalakan di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Ini sudah cukup membuktikan orang ramai semakin sedar terhadap kepentingan menjaga hutan daripada diceroboh," katanya.