Tindakan KAFA mohon derma dipersoal

Cassio (kiri) mewakili Kelantan dalam saingan Liga-M pada musim 2018. (Gambar kecil: Hashim Mustapha)
Cassio (kiri) mewakili Kelantan dalam saingan Liga-M pada musim 2018. (Gambar kecil: Hashim Mustapha)
A
A
A

“SAMPAI bila? Takkanlah setiap kali ada masalah hutang nak buat tabung?”

Itu reaksi legenda bola sepak Kelantan, Hashim Mustapha ketika diminta mengulas kenyataan media Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) semalam yang memohon derma daripada orang ramai terutamanya peminat dan penyokong The Red Warriors bagi menyelesaikan ‘hutang’ bekas pemain importnya dari Brazil, Cassio Francisco De Jesus yang berjumlah RM629,620.28.

Hashim berkata, ia bukan kali pertama masalah seumpamanya berlaku dan kutipan derma dilancarkan oleh pihak KAFA bagi menangani masalah sumber kewangan badan induk bola sepak Kelantan itu.

Menurut Hashim, beliau sendiri tidak tahu sejauh manakah kutipan derma berkenaan dapat membantu menyelesaikan tunggakan gaji Cassio yang mencecah lebih setengah juta itu.

“Takkanlah setiap kali ada masalah hutang nak buat tabung? Setakat mana sangat boleh derma pun. Bagi saya, tak tahulah macam mana kerana presiden terpaksa tebalkan muka sebab dia yang nak (mohon derma).

“Kalau orang (pasukan) lain tiada pula yang ada masalah bayar gaji sampai nak kutip derma. Saya tak tahulah ada penyokong yang betul-betul setia dapat bagi derma tapi takkan setiap kali tunggakan gaji nak minta derma,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Pada masa sama, Hashim menegaskan, KAFA juga seharusnya tampil melunaskan bayaran kepada beliau serta pemain-pemain yang masih berdepan dengan masalah tunggakan gaji sehingga hari ini.

“Sepatutnya KAFA membayar (tunggakan) gaji saya dulu berjumlah RM30,000 selepas tertunggak sejak tahun 2018. KAFA buat sebegitu (mohon derma) takkan nak bayar gaji Cassio seorang, sepatutnya tunggakan gaji saya dan pemain lain kena juga buat sebegitu.

Artikel Berkaitan:

“Saya masuk coaching (staf kejurulatihan) KAFA mulai 2008 hingga 2017 tak pernah ada masalah gaji. Kalau tak bayar, dia bagi sebulan, sempat kita bernafas tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, masalah mula timbul.

“Seperkara lagi, KAFA tidak boleh hanya berharap pada gate collection, kena juga cari penaja. Tapi penaja juga akan tengok dahulu pasukan, tambah pula dalam keadaan (pandemik) Covid-19 sekarang,” jelas bekas penyerang berbisa kebangsaan itu.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, KAFA akan berdepan masalah lebih rumit dan berkemungkinan dikenakan tindakan lebih berat sekiranya tidak dapat menjelaskan tuntutan yang diarahkan FIFA.

“KAFA juga akan memaklumkan jumlah kutipan ini dari semasa ke semasa kepada penyokong. Resit derma juga boleh dihantar melalui WhatsApp ke nombor 013-928 3293,” ujarnya.