Kafa mohon sumbangan penyokong

Casio Francisco De Jesus (kanan) memperkuat Kelantan dalam saingan Liga-M sebelum ini.
Casio Francisco De Jesus (kanan) memperkuat Kelantan dalam saingan Liga-M sebelum ini.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) terpaksa memohon sumbangan daripada orang ramai terutamanya penyokong setia The Red Warriors bagi melunaskan tunggakan gaji bekas pemain importnya, Casio Francisco De Jesus.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kafa, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, badan induk bola sepak Kelantan itu tidak mempunyai banyak masa disebabkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

"Dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini menyukarkan pihak persatuan untuk mendapat sumber kewangan yang mencukupi membayar tuntutan sebanyak itu.

"Ia ditambah lagi segala urusan niaga bersama rakan kongsi termasuk jualan jersi terhenti pada masa ini dan bakal penaja yang dijadualkan akan bersama kita Jun ini juga mengambil langkah berdiam diri.

"Justeru, Kafa memohon bantuan orang ramai terutama peminat dan penyokong bola sepak Kelantan untuk menderma kepada Kafa seberapa yang mampu secara dalam talian ke nombor akaun bagi membolehkan Kafa membayar segala tuntutan yang diarahkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, Kafa akan berdepan masalah lebih rumit dan berkemungkinan dikenakan tindakan lebih berat sekiranya tidak dapat menjelaskan tuntutan yang diarahkan FIFA.

"Kafa juga akan memaklumkan jumlah kutipan ini dari semasa ke semasa kepada penyokong. Resit derma juga boleh dihantar melalui WhatsApp ke nombor 013-928 3293," jelasnya.

Terdahulu, Kafa diarahkan oleh FIFA untuk menjelaskan hutang membabitkan tunggakan gaji De Jesus berjumlah RM629,620.28 dalam tempoh 30 hari bermula 23 April lalu.

Artikel Berkaitan: