Terpulang kepada Speaker Dewan Rakyat!

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

SHAH ALAM - Semua ahli Parlimen boleh membuat usul persendirian, namun terpulang kepada Speaker Dewan Rakyat untuk menimbangnya, kata Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.

Beliau ketika mengulas pertanyaan pemberita berhubung usul tidak percaya Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiada siapa boleh menghalang ahli Parlimen membawa usul ke Parlimen.

“Hak kepada ahli Parlimen bawa usul, hak Speaker tapis sama ada nak bahas atau tidak.

“Seperti biasa kalau usul diterima akan dibahaskan, kalau dibahaskan maka ahli Parlimen boleh mengambil bahagian dalam perbahasan,” katanya pada sidang akhbar Muafakat Nasional Negeri Selangor yang turut dihadiri Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi di Bangunan UMNO Selangor di sini hari ini.

Noh sebelum itu berkata, beliau percaya Speaker mempunyai pengalaman dan beliau akur apa juga keputusan akan dibuat kelak.

“Saya percaya Speaker ada pengalaman, apa pun mengenai usul saya sebagai ahli Parlimen akan akur dengan apa juga keputusan yang Speaker buat,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof menerima usul Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Mohamad Ariff, usul tersebut diterima di bawah Perkara 27 (3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan akan dibincangkan dalam Parlimen pada 18 Mei nanti.

Artikel Berkaitan: