Undi tidak percaya PM tak kena masa: Wan Saiful

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

ALOR SETAR - Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan tidak kena pada masanya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan berkata, usul terbabit seolah-olah tidak peka dengan keperitan rakyat yang berdepan wabak koronavirus (Covid-19) selain tekanan ekonomi.

Menurutnya, ketika Muhyiddin dan barisan Kabinet berhempas-pulas membantu rakyat, adalah tidak wajar memberi keutamaan kepada kepentingan peribadi.

"Saya kesal ia berlaku sekarang, ini bukan masanya. Sekarang bukan masa untuk membalas dendam peribadi," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Speaker terima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin

Wan Saiful berkata, malah isu berkaitan usul berkenaan tidak pernah dibincangkan bersama anggota MPT Bersatu.

"Dr Mahathir tak pernah bincangkan usul yang besar ini dalam mesyuarat tertinggi parti. Ia hanya tindakan peribadi yang membelakangkan kepentingan parti," katanya.

Menurutnya, alangkah baiknya sekiranya Dr Mahathir menerima permintaan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu untuk berjumpa dan berbincang bagi menyelesaikan kemelut yang melanda parti itu.

"Sudah lama Muhyiddin minta untuk berjumpa Dr Mahathir, sekalipun beliau enggan memanggil mesyuarat MPT kerana bimbang majoriti MPT menolak ajakan untuk kembali ke pangkuan DAP dan Pakatan Harapan (PH), boleh saja berjumpa empat mata dengan Muhyiddin.

Artikel Berkaitan:

Bukan dengan cuba menjatuhkan kerajaan parti sendiri," katanya.

Wan Saiful turut mempersoalkan siapa yang bakal mendapat manfaat daripada usul berkenaan.

"Saya ucap syabas kepada Speaker Dewan Rakyat kerana membuat keputusan berdasarkan peraturan. Ini menunjukkan Kabinet pimpinan Muhyiddin tidak mengongkong Parlimen," katanya.

Semalam, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof mengesahkan menerima usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Usul berkenaan dikemukakan bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 4 Mei lalu bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).

Dewan Rakyat dijangka bersidang sehari pada 18 Mei ini dan dijangka disambung semula pada Julai depan.