Lima samseng Jalanan ditahan

Lima penunggang yang ditahan dibawa ke IPD Kajang untuk tindakan lanjut.
Lima penunggang yang ditahan dibawa ke IPD Kajang untuk tindakan lanjut.
A
A
A

KAJANG – Polis menahan lima penunggang motosikal dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuh Raya Grand Saga di sini hari ini.

Pegawai Turus Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Asisten Superintenden Norlatifah Samsudin berkata, kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 16 hingga 21 tahun.

“Sepasukan 16 anggota dan pegawai dari Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman terlibat dalam operasi pada jam 12.30 tengah malam itu mendapati kesemua individu itu melakukan aksi amat merbahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Norlatifah berkata, pihaknya mengekori dua motosikal sedang berlumba dari Kilometer 16 hingga Kilometer 17 lebuhraya berkenaan menghala ke Kajang.

“Dua penunggang motosikal itu telah membuat pusingan di Kilometer 17 menghala ke arah Kuala Lumpur dan berhenti di bahu jalan di Kilometer 16.8 di lebuh raya berkenaan.

“Salah seorang daripada mereka telah menyerahkan motosikal kepada seorang lelaki lain sebelum mereka berlumba. Ketiga-tiga suspek telah ditangkap oleh anggota polis pada jam 1 pagi,” katanya.

Beliau berkata, dua lagi lelaki berjaya ditahan selepas melakukan aksi berbahaya di lokasi sama pada jam 1.45 pagi.

“Kita telah merampas dua motosikal jenis Yamaha 125ZR, sebuah motosikal Yamaha Y15Z dan sebuah motosikal Yamaha 135LC, kita turut mengeluarkan 15 saman POL 257. Kesemua individu dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11 (Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit-Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.