APMM sambung semula operasi cari nelayan hilang

APMM menggerakkan asetnya ke lokasi penemuan tali pukat yang dijumpai seorang nelayan tempatan pada 5 Mei lalu. - Foto APMM Langkawi
APMM menggerakkan asetnya ke lokasi penemuan tali pukat yang dijumpai seorang nelayan tempatan pada 5 Mei lalu. - Foto APMM Langkawi
A
A
A

LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (APMM) menyambung kembali operasi carilamat dua nelayan hilang di Pulau Segantang selepas nelayan tempatan menjumpai tali pukat disyaki milik bot nelayan yang karam pada 27 April lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Zulinda Ramly berkata, Maritim Negeri Kedah dan Perlis menerusi Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi menerima laporan daripada seorang nelayan tempatan pada 5 Mei lalu pada jam 12.40 pagi berhubung penemuan pukat tersebut.

Menurutnya, MRSC Langkawi mengatur gerak pasukan penyelam yang terdiri daripada Pasukan Tindakan dan Penyelamat (STAR) dan peralatan Remotely Operated Vehicle (ROV) dari Maritim Negeri Perak.

"Kita telah memulakan operasi pada 7 Mei jam 6.30 pagi dengan menugaskan kapal KM Malawali dan bot Kilat ke lokasi bagi melaksanakan pencarian di kawasan petunjuk dijumpai.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua nelayan hilang dekat Pulau Segantang

Dua nelayan hilang sejak Ahad lalu belum ditemui

APMM tamatkan operasi selepas tidak temui petunjuk

"Kita telah menurunkan ROV sebanyak 4 kali pada semalam untuk mengesan bot karam di bahagian dasar laut, namun keadaan arus deras dan penglihatan terhad sedikit merencatkan usaha pencarian. Pada jam 4.15 petang, KM Malawali menemui tali disyaki milik bot karam dan melakukan penandaan untuk operasi disambung pada hari ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

APMM menggunakan tenaga kepakaran untuk mengesan bot yang karam pada 27 April lalu. - Foto APMM Langkawi
APMM menggunakan tenaga kepakaran untuk mengesan bot yang karam pada 27 April lalu. - Foto APMM Langkawi

Zulinda berkata, berpandukan penandaan yang telah dibuat semalam, operasi bersambung pada hari ini bermula jam 7 pagi dan usaha untuk mengesahkan penemuan bangkai bot karam dan dua mangsa terbantut disebabkan peralatan ROV tidak dapat mengesan kedudukan sebenar bot yang karam.

Jelasnya, tahap penglihatan yang terhad selain arus deras dan kewujudan tali pukat yang tersangkut di bot telah menyukarkan pergerakan ROV.

"Kita menamatkan operasi hari ini pada jam 2.30 petang dan akan memaklumkan kedudukan terkini tali pukat yang tersangkut di bot karam kepada pemilik bot untuk tindakan selanjutnya.

Maritim Malaysia menyeru kepada seluruh komuniti maritim supaya sentiasa berwaspada dan menitikberat soal keselamatan ketika berada di laut bagi sebarang aktiviti," katanya.

Pada 2 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan APMM menamatkan operasi carilamat dua nelayan tempatan yang hilang berhampiran Pulau Segantang dekat sini selama lima hari selepas tidak menemui sebarang petunjuk.

Terdahulu, dua nelayan, Zainol Salleh, 39, iaitu tekong bot dan Mohd Isa Mohamad,50, dilaporkan terputus hubungan selepas bot kelas B bernombor pendaftaran KF 2295 dinaiki mereka karam semasa menangkap ikan berhampiran Pulau Segantang, Langkawi.

Tali pukat yang dijumpai di lokasi bot yang karam pada 27 April lalu. - Foto APMM Langkawi
Tali pukat yang dijumpai di lokasi bot yang karam pada 27 April lalu. - Foto APMM Langkawi