Bertadarus dan bertasmik bersama keluarga sepanjang Ramadan

Mohd Faisol sekeluarga ambil peluang Ramadan di musim PKP untuk lebih mengenal ALLAH SWT dengan mempraktikkan amalan terbaik seperti bertadarus al-Quran.
Mohd Faisol sekeluarga ambil peluang Ramadan di musim PKP untuk lebih mengenal ALLAH SWT dengan mempraktikkan amalan terbaik seperti bertadarus al-Quran.
A
A
A

SHAH ALAM – Pelaksanaan ibadah puasa dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberikan banyak pengalaman istimewa kepada Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim.

Menurutnya, Ramadan kali ini sangat berbeza kerana beliau sekeluarga berada di rumah pada sepanjang masa.

Katanya, banyak amalan terbaik ketika Ramadan dapat dapat dipraktikkan seperti sembahyang tarawih berjemaah bersama anak dan isteri.

“Saya sempat mengambil peluang ini melatih anak-anak menjadi imam untuk solat witir.

“Kami sekeluarga bertadarus dan bertasmik al-Quran serta memperbetulkan bacaan berasaskan tajwid ayat-ayat suci yang dibacakan anak-anak.

“Apabila ada masa terluang seperti waktu pagi, saya akan mengajak anak-anak untuk bercerita tentang sejarah nabi dan sekali gus membantu mereka untuk memahami subjek di sekolah agama,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Katanya, Ramadan kali ini banyak memberikan peluang kepada beliau sekeluarga untuk lebih mengenali ALLAH SWT.

“Banyak masa kami sekeluarga bersama, apabila solat berjemaah saya akan menyuruh anak melaungkan azan dan beriqamat. Tujuannya untuk membiasakan anak dengan praktikal ini walaupun mereka masih kecil.

Artikel Berkaitan:

“Selepas sembahyang berjemaah, isteri dan saya akan memberi komen tentang cara dan tertib anak-anak bersolat dari hari ke hari dan ia amat membantu mereka untuk menunaikan solat dengan lebih baik serta tertib,” katanya.

Mohd Faisol berkata, Ramadan 2020 ini juga sangat bermakna kepada beliau kerana dapat membantu isteri menyediakan juadah untuk berbuka dan bersahur.

“Memang setiap kali Ramadan, saya dan anak-anak akan bantu isteri memasak untuk juadah berbuka dan kadang-kala bersahur tapi kali ini lebih istimewa kerana banyak masa kami bersama.

“Biasanya saya akan bangun sekitar jam 4 pagi untuk masak juadah bersahur dan niat saya melakukan kerana ALLAH SWT. Jika sempat, saya akan mengerjakan solat sunat tahajud dan solat hajat sebelum memasak sahur,” kata bapa kepada tiga anak ini.

Menurutnya, amalan terbaik dalam bulan Ramadan itu terlalu banyak dan semua pihak perlu sedaya-upaya mempraktikkannya.

“Bagi saya seperti yang dijelaskan tadi, Ramadan sepanjang musim PKP ini benar-benar mengetuk pintu hati saya sekeluarga untuk lebih mengenali ALLAH SWT dalam erti sebenar-benarnya,” katanya lagi.