X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan disaran perkenalkan semula GST pada kadar munasabah

Panhaj Kumar
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang sebelum ini dimansuhkan kepada paras yang boleh diterima iaitu tiga peratus, berbanding pada kadar enam peratus sebelum ini.

Bekas ketua pegawai pelaburan sebuah firma dana insurans, Panhaj Kumar berkata, GST adalah sistem cukai yang lebih adil kerana ia sebenarnya mengenakan cukai terhadap penggunaan dan boleh meningkatkan pendapatan kerajaan.

Beliau berkata, sebelum pembentangan Bajet 2019, Jawatankuasa Reformasi Cukai (TRC) ditubuhkan untuk mengurangkan jurang cukai sedia ada, menangani ketirisan, meneroka sumber baharu hasil negara dan mengkaji keberkesanan pelbagai insentif cukai mengikut undang-undang.

“Sebelum ini kita telah mencuba GST dan kemudian menukar kepada SST (cukai jualan dan perkhidmatan), kita sewajarnya melihat kembali kepada saranan untuk memperkenalkan semula GST pada paras yang munasabah.

“GST adalah sistem cukai yang lebih adil kerana ia sebenarnya mengenakan cukai terhadap penggunaan. Cara ini, mereka yang menggunakan lebih akan secara efektif membayar cukai lebih lagi, dan tidak membebankan M40 atau B40, yang kecenderungan marginal untuk mengguna adalah lebih rendah,’’ katanya pada satu kenyataan akhbar hari ini.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) memperkenalkan GST pada kadar 6 peratus pada 1 April 2015 dan kira-kira RM44 bilion dikutip daripada sistem percukaian itu.

Apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran selepas Pilihan raya Umum ke-14, mereka telah menurunkan kadar GST pada kadar 0 peratus sebelum memperkenalkan semula SST pada 1 September 2018.

Beliau yang juga seorang kolumnis terkemuka berkata, reformasi lain cukai yang wajar dikaji semula oleh kerajaan ialah Cukai Warisan (IT) dan Cukai Perolehan Modal (CGT).

“Bagi cukai IT, penanda aras hendaklah pada paras yang diterima pakai. Pada jumlah RM2 juta dan ke atas misalnya, kadar cukai progresif akan meraih aliran lebih bermakna kepada hasil kerajaan,’’ ujar beliau.

Bagi CGT, pula katanya, kerajaan boleh mempertimbangkan kadar cukai tertentu ke atas penjualan saham atau aset melibatkan urusan penggabungan dan pengambilalihan (M&A), penswastaan atau pelupusan aktiviti perniagaan oleh syarikat induk.

“Bagaimanapun, ia tidak terpakai kepada dagangan saham biasa di dalam pasaran saham. Kami memiliki banyak kes syarikat tersenarai yang meninggalkan aktiviti perniagaan teras mereka atau di mana syarikat itu bertukar menjadi milik persendirian,” katanya.

Katanya, modal yang diraih dinikmati oleh pemegang saham di dalam aktiviti korporat ini tidak dikenakan cukai sama sekali dan sekiranya CGT diperkenalkan, sebanyak 10 peratus atau 20 peratus untuk pelupusan dikenakan jika harga jualan lebih tinggi daripada nilai bersih aset syarikat.

Menurut Pankaj lagi, satu lagi perkara yang dibimbangi ialah perolehan besar di dalam duti eksais ke atas sektor ‘dosa’ yang mengakibatkan perluasan perdagangan haram.

Mengambil contoh perdagangan rokok haram, katanya, eksais terbesar di dalam sejarah dicatat antara tahun 2013 dan 2015.

“Produk tembakau premium 20 batang sekotak meningkat dari RM12 menjadi RM17, melonjak sebanyak 42 peratus. Selepas kenaikan inilah perdagangan haram mula tumbuh dengan pesat. Pada masa ini, kerajaan dianggarkan menanggung kerugian RM5 bilion setahun dari segi cukai,” katanya.

Oleh itu, katanya, kerajaan wajar mempertimbangkan untuk menurunkan duti eksais bagi mengurangkan jurang harga antara kontraban dan bekalan produk sah.

“Pada masa yang sama, kita juga memerlukan penguatkuasaan lebih ketat dan perundangan lebih tegas untuk menghukum penjual-penjual barangan haram itu,’’ ujarnya.

Beliau berkata, matlamat utama ialah untuk mendapatkan asas dan perolehan cukai lebih besar dan dengan itu, kerajaan akan mempunyai fleksibiliti lebih besar di dalam perbelanjaan pembangunan, membolehkannya merangsang lagi aktiviti perniagaan, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan melonjakkan Malaysia ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi.

Sementara itu, Pankaj berkata, satu daripada isu terbesar Malaysia ialah tidak mengenakan cukai secukupnya, sama ada kepada individu ataupun sektor perniagaan.

“Bagi individu, terdapat sebanyak 2 juta rakyat Malaysia bekerja yang membayar cukai. Ini adalah kira-kira 13 peratus daripada 15.87 juta tenaga kerja. Hasil cukai Kerajaan Malaysia sebagai peratus KDNK ialah kira-kira 15 peratus, juga satu daripada terendah.

“Kita juga perlu meningkatkan tahap gaji minimum. Gaji media kita kira-kira RM2,308 pada 2018 adalah terlalu rendah kerana ia termasuk di dalam kelompok tidak dikenakan cukai. Gaji minimum kita sebanyak RM1,200 (bagi bandar-bandar) juga terlalu rendah yang menunjukkan kita tidak membayar secukupnya kepada pekerja,’’ kata Pankaj.

Beliau berkata, kerajaan perlu menawarkan gaji lebih tinggi bagi menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk menyertai pasukan kerja formal, yang layak di cukai berbanding bergantung kepada tenaga buruh asing.

“Misalnya, gaji minimum RM1,600 atau gaji permulaan bagi graduan ialah RM3,000 dan ke atas – kita akan memiliki tenaga kerja yang lebih makmur, yang kemudiannya boleh memacu penggunaan dan ekonomi secara keseluruhannya,’’ katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus