Negeri Sembilan selamatkan gelandangan

Nicole Tan (kiri) semasa bertemu penghuni PPSG.
Nicole Tan (kiri) semasa bertemu penghuni PPSG.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Negeri Sembilan menyelamatkan tiga lagi lelaki gelandangan yang ditemui berkeliaran dan keseorangan tanpa hala tuju semalam.

Kesemua gelandangan itu ditempatkan di Pusat Pelindungan Sementara Gelandangan (PPSG), Dewan Orang Ramai Taman Tasik Jaya.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga, dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, pada 16 April lalu pihaknya menyelamatkan 25 orang gelandangan untuk ditempatkan di pusat berkenaan.

Menurutnya, kini jumlah penghuni di pusat itu adalah seramai 29 orang melibatkan 26 lelaki dan tiga wanita berusia antara 19 hingga 61 tahun.

"Jumlah penghuni di pusat itu sentiasa berubah kerana ada keluarga yang datang menuntut waris mereka termasuk seorang gelandangan lelaki yang dibawa pulang ke Sabah setelah mendapat kelulusan permohonan daripada pihak berkuasa.

"Gelandangan ini diselamatkan bagi mengelakkan mereka dijangkiti koronavirus (Covid-19) jika terus berada di luar tanpa penjagaan kesihatan dan kebersihan yang sempurna," katanya kepada Sinar Harian.

Sebahagian penghuni sedang menikmati makanan yang disediakan.
Sebahagian penghuni sedang menikmati makanan yang disediakan.

Nicole berkata, pusat itu menyediakan pelbagai aktiviti kepada penghuni antaranya bergotong-royong membersihkan kawasan pusat, membaca surat khabar, berkaraoke, bermain karom dan menonton televisyen dengan menggunakan projektor.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua gelandangan di sini juga menerima perkhidmatan gunting rambut secara percuma yang ditaja oleh Cutting Edge dengan kerjasama kerajaan negeri.

"Bagi bulan Ramadan ini, penghuni yang beragama Islam akan diberi makanan semasa bersahur dan juga waktu berbuka, segala keperluan mereka dijaga rapi bagi memastikan keselesaan mereka terus terjamin.

"Semua penghuni juga perlu mematuhi semua protokol ditetapkan pihak berkuasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) telah ditugaskan untuk memantau pusat berkenaan," katanya.

Penghuni PPSG menerima perkhidmatan gunting rambut percuma oleh Cutting Edge.
Penghuni PPSG menerima perkhidmatan gunting rambut percuma oleh Cutting Edge.