Bawang oh bawang, roti oh roti

No Image Caption
A
A
A

MALAYSIA tidak pernah lekang dengan isu. Ada sahaja yang dibangkitkan sama ada baik atau sebaliknya. Yang serius, yang tidak dan yang tiada hal pun boleh dijadikan isu.

Itulah rakyat Malaysia! Rajin mengetengahkan sesuatu perkara untuk menarik perhatian. Rajin membincangkan isu dan menjadikan isu tersebut trending.

Dari isu keluarga, jantina, sekolah, resipi sehingga ke isu bawang. Membawang isu bawang? Tidak ramai yang percaya. Tapi itulah hakikatnya!

Sejak beberapa bulan lalu, dari sebelum Covid-19 sampailah Perintah Kawalan Pergerakan. Heboh diperkatakan bekalan bawang terputus. Maka, berduyun-duyun aduan dibuat tentang bawang yang kononnya habis di pasaran.

Apabila diperiksa oleh Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), bekalan bawang Belanda, Pakistan dan China masih ada. Cuma yang tiada hanyalah bawang India.

Bila PKP mula dikuatkuasakan, dapur-dapur mula beroperasi dengan aktif dan bahan masakan perlu sentiasa ada untuk mencuba segala resipi. Maka, timbul semula isu bawang dan kali ini dikatakan harga bawang melambung tinggi.

Apabila diperiksa, yang mahal adalah bawang India dan Australia. Harga bawang Belanda, Pakistan, Mesir dan China tetap tidak berubah.

Rakyat Malaysia tetap mahukan bawang India kononnya rasa dan baunya lebih sedap. India mengeksport 2.4 juta tan bawang pada 2017 dan kebanyakannya ke Bangladesh, Malaysia dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Artikel Berkaitan:

Rakyat Malaysia yang terlalu bergantung kepada bekalan bawang India dalam masakan boleh mempengaruhi harga makanan.
Rakyat Malaysia yang terlalu bergantung kepada bekalan bawang India dalam masakan boleh mempengaruhi harga makanan.

Pada September 2019, India dilaporkan memberhentikan eksport bawang ke negara luar akibat banjir di negara mereka dan kekurangan bekalan ini menyebabkan harganya naik.

Dalam tempoh PKP ini, kita seharusnya menyesuaikan kehidupan dengan keadaan termasuk citarasa.

Jika inginkan kesempurnaan dan keselesaan, kita harus bersedia untuk membayar pada harga lebih sedikit. Jika inginkan makanan yang sedap dengan aroma bawang India, maka kita harus sedia untuk keluar modal lebih sedikit.

Kalau kita terus komplen tetapi tidak sanggup mengubah sedikit cita rasa dan tidak pula mahu membayar lebih, maka timbulah isu bawang ini.

Malaysia mengimport 60 peratus bekalan bawang merah dari beberapa negara untuk memenuhi keperluan dan permintaan penduduk di Malaysia. Daripada jumlah import itu, 70 peratus adalah dari India.

Apabila India menghentikan eksport bawang, kerajaan mengambil inisiatif untuk mengimport bawang merah dari China, Pakistan dan Mesir sebanyak 106,395 tan metrik.

Hal bawang ini bukanlah masalah universal dan sepatutnya tidak dijadikan isu.

Kerajaan sentiasa memastikan rakyat mempunyai alternatif dengan membawa masuk bekalan bawang dari negara lain untuk menampung permintaan selain menstabilkan harga di pasaran.

Kebergantungan rakyat Malaysia terhadap bawang India dalam masakan boleh mempengaruhi harga makanan.

Apakah kita bersedia untuk membayar pada harga yang lebih tinggi hanya untuk kepuasan rasa dalam masakan?

Inilah persoalan yang mesti dijawab oleh rakyat Malaysia? Tepuk dada, tanya selera, tepuk selera, rasalah harganya.

Bawang bukan satu-satunya bahan makanan yang dijadikan isu.

Roti dan telur juga menjadi trending kerana kerenah rakyat Malaysia lebih pentingkan jenama dan cita rasa. Seolah-olah tiada kompromi. Misalnya, pemilihan roti banyak terarah kepada jenama.

Pengguna di negara kita lebih suka roti yang berjenama sebagai pilihan utama mereka.
Pengguna di negara kita lebih suka roti yang berjenama sebagai pilihan utama mereka.

Gambar rak jenama tertentu kosong diviralkan, menjadikan peminat roti di Malaysia panik. Walhal, roti jenama lain penuh di rak sebelah.

Apa salahnya dalam tempoh PKP ini, kita ubah selera dan ajarkan tekak untuk menerima seadanya. Sekiranya yang mudah didapati itu jenama pasar raya (in-house brand) apa salahnya mencuba?

Pengeluaran roti di Malaysia daripada semua pengilang roti dilaporkan sekitar 4.1 juta bungkus sehari berbanding dengan konsumsi hanya sekitar 3.8 juta sehari.

Diukur daripada kuantiti, pastinya cukup dan tiada sebab pengguna harus panik. Apa yang terjadi dengan roti dan bawang, begitulah juga dengan telur.

Pengeluaran telur negara sekurang-kurangnya 25 peratus lebih daripada jumlah konsumsi tempatan. Banyak telur daripada pengusaha Malaysia dieksport ke luar negara terutamanya Singapura.

Penghasilan saiz telur daripada ayam ternakan adalah di luar kawalan peladang. Peladang tidak boleh paksa ayam ternakan untuk keluarkan saiz yang besar sahaja.

Dalam sehari, penghasilan telur adalah daripada saiz AAA sehingga C, ada yang Omega 3, 6, 9 dan ada pula tiada antibiotik.

Yang menjadi isu apabila telur saiz pilihan pengguna telah habis di pasar raya tertentu, maka bermulalah andaian bahawa bekalan telur habis di seluruh Malaysia dan cerita itu dicanang menjadi viral di media sosial.

Malangnya golongan pengguna ini masih tidak mahu berganjak mencuba telur bersaiz lain walaupun dengan kualiti dan nutrien yang sama.

Inilah yang dipanggil tingkah laku pengguna atau 'consumer behaviour'. Tak salah! Tetapi merumitkan dalam keadaan krisis seperti PKP Covid-19 ini. Seharusnya rakyat Malaysia bersikap pragmatis dan fleksibel ketika PKP.

Bukan tiada bekalan, tetapi dengan pengurangan tenaga kerja di sesuatu premis pasar raya menyebabkan penghantaran dan penambahan semula stok kurang lancar dan tidak seperti biasa.

Jika pengguna terlalu cerewet, bekalan menjadi kurang dan itu akan mengundang kenaikan harga barangan tersebut kerana permintaan melebihi bekalan. Akibatnya pengguna sendiri yang akan rugi dan inflasi akan naik.

Pengguna juga tidak seharusnya terlalu fanatik terhadap jenama apatah lagi dalam keadaan kita menghadapi krisis Covid-19. Kita harus bersedia dan berani berubah.

Mahu tidak mahu, tanpa kita sedari Covid-19 sedikit sebanyak merubah gaya hidup kita. Kebiasaan baharu atau new normal akan membentuk hidup kita pasca Covid-19 dan kita harus bersedia mengadaptasi diri kita kepada kebiasaan baharu itu.

Raya dan Hari Gawai menjelang tiba. Apakah isu bawang, roti dan telur akan berulang?

#dudukdirumah #kitajagakita #kitamestimenang