Petronas temui minyak di dua telaga Mexico

Anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), PC Carigali Mexico Operations S A de CV (PCCMO) menemui dua penemuan minyak perairan dalam di Mexicp. Gambar hiasan
Anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), PC Carigali Mexico Operations S A de CV (PCCMO) menemui dua penemuan minyak perairan dalam di Mexicp. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), PC Carigali Mexico Operations S A de CV (PCCMO) menemui dua penemuan minyak perairan dalam di Mexico dari telaga penerokaan Polok-1 dan Chinwol-1 di Block 29, terletak di Salina Basin, luar pesisir Mexico.

Susulan dua penemuan ini dengan penemuan minyak pada bulan lalu di telaga penerokaan Monument, luar pesisir Teluk Mexico Amerika Syarikat, menjadikan tiga penemuan yang berjaya secara berturut-turut.

“Ia merupakan pencapaian penting kepada Petronas dan usahanya di Amerika. Kami gembira dengan dua penemuan yang membuktikan tumpuan kami yang berterusan dalam mencari peluang untuk meningkatkan sumber dan portfolio rizab kami di lembangan Mexico yang produktif.

“Bersama dengan rakan kongsi kami, kami berharap dapat menilai data untuk menentukan potensi komersial penemuan ini,” kata Naib Presiden Penerokaan dan Huluan Petronas Emeliana Rice-Oxley dalam kenyataan hari ini.

Telaga Polok-1 selamat digerudi dengan kedalaman 2,620 meter dan menemui minyak 200 meter di takungan klastik laut dalam Lower Miocene.

Sementara itu, telaga Chinwol-1, terletak 12 kilometer dari Polok-1, digerudi dengan kedalaman 1,850 meter dan menemui minyak 150 meter di formasi Pliocene.

Penggerudian telaga penerokaan Polok-1 telah bermula dari 29 Februari 2020, serentak diikuti penggerudian telaga Chinwol-1.

Telaga Polok-1 dan Chinwol-1, masing-masing terletak di kedalaman 584 meter dan 464 meter, kira-kira 75 kilometer barat laut Tabasco.

Artikel Berkaitan:

Melalui PCCMO, Petronas kini mempunyai kepentingan di 10 blok penerokaan meliputi tiga lembangan utama Mexico dengan jumlah kawasan kira-kira 22,000 kilometer persegi dan PCCMO adalah pengendali lima daripada blok tersebut. - Bernama