Gelandangan berteduh bawah jejambat

Seorang lelaki menjadikan bawah jejambat berhampiran Taman Air Manis di sini sebagai tempat berteduh.
Seorang lelaki menjadikan bawah jejambat berhampiran Taman Air Manis di sini sebagai tempat berteduh.
A
A
A

SABAK BERNAM - Pihak berwajib diminta membantu menyelamatkan seorang gelandangan yang tidak terurus di bawah jejambat berhampiran Taman Air Manis di sini.

Pengerusi Prihatin Malaysia, Dr Mohd Hisham Surgi berkata, lelaki itu dipercayai bermalam di jejambat itu sejak lebih tiga bulan lalu.

Menurutnya, lelaki tidak dikenali identiti itu perlu diberikan penginapan sementara bagi mengelak penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Perkara ini saya sudah ajukan kepada pihak berkaitan, namun sehingga kini tiada tindakan diambil," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Hisham berkata, gelandangan terbabit perlu dibantu bagi mengelakkan lelaki itu merayau dan dijangkiti Covid-19.

"Saya sendiri sudah beberapa kali menemui lelaki ini tetapi tidak dapat maklumat jelas mengenainya mungkin ada sesuatu dirahsiakan," katanya.

Katanya, lelaki yang menjadikan bawah jejambat untuk berteduh juga mendapat simpati orang ramai yang melalui Jalan Persekutuan berkenaan.

"Pengguna kenderaan yang bersimpati turut memberikan makanan dan minuman kepada gelandangan terbabit,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang peniaga kedai makan berhampiran, Mahani Mohd Adnan,61, berkata, dia bersimpati dengan nasib menimpa lelaki terbabit.

Katanya, setiap petang dia memberikan makanan dan minuman kepada gelandangan itu agar tidak kelaparan.

"Saya minta pihak berwajib membantu gelandangan ini yang mengadu sering diganggu anjing liar di bawah jejambat ini pada setiap malam," katanya.