Bursa Malaysia dibuka tinggi

No Image Caption
A
A
A

BURSA Malaysia dibuka tinggi sejajar dengan peningkatan semalaman di Wall Street.

Pada jam 9.05 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 6.92 mata kepada 1,383.51 daripada 1,376.59 semasa ditutup pada Isnin. FBM KLCI dibuka tinggi 2.16 mata kepada 1,378.75.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 261 berbanding 57, manakala 176 kaunter tidak berubah, 1,382 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 374.41 juta saham bernilai RM113.49 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, dijangka berlaku aktiviti belian saham pada harga rendah yang sederhana, disokong oleh harga minyak mentah yang pulih.

Brent naik 3.79 peratus kepada AS$28.23 setong.

Katanya pemulihan dijangka sederhana dengan halangan dikesan pada paras 1,400, diikuti paras 1,430 buat masa ini dan di bahagian penurunan, sokongan dikesan pada paras 1,360 dan 1,350.

“Saham berharga rendah dan saham pasaran lebih luas tidak terkecuali daripada tekanan jualan berikutan pelabur menyimpan keuntungan mereka baru-baru ini. Bagaimanapun, belian secara bergilir-gilir meningkatkan sektor pembinaan berikutan aktiviti pembinaan yang disambung semula, walaupun tidak sepenuhnya,” menurut Malacca Securities dalam nota hari ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik tujuh sen kepada RM7.45, TNB menambah dua sen kepada RM12.14, Public Bank meningkat 18 sen kepada RM16.94, IHH Healthcare menokok tujuh sen kepada RM5.22, Petronas Chemicals melonjak 11 sen kepada RM5.51 manakala Maxis dan Digi, masing-masing meningkat tiga sen kepada RM5.31 dan RM4.55.

MISC, Axiata, CIMB, Sime Darby Plantation, masing-masing tidak berubah pada RM7.80, RM3.79, RM3.41, dan RM4.76.

Bagi saham aktif, Ageson naik tiga sen kepada 19 sen, Hibiscus Petroleum menambah 2.5 sen kepada 51.5 sen, Bumi Armada dan Alam Maritim, masing-masing meningkat satu sen kepada 17.5 sen dan lapan sen, LYC Healthcare naik dua sen kepada 36.5 sen manakala Xidelang dan Hubline, masing-masing tidak berubah pada 6.5 sen dan lima sen.

Indeks FBM Emas naik 50.28 mata kepada 9,689.15, Indeks FBMT 100 meningkat 47 mata kepada 9,554.28, Indeks FBM Emas Shariah menambah 35.16 mata kepada 10,755.41, FBM ACE naik 132.85 mata kepada 4,909.84 manakala FBM 70 menokok 54.10 mata kepada 11,693.62.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 92.42 mata kepada 12,321.83, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 1.26 mata kepada 119.54 manakala Indeks Perladangan menambah 5.15 mata kepada 6,228.86. - Bernama