NGO lapor polis video ucapan empat pemimpin PH

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Gerakan Pembela Ummah Perak membuat laporan polis terhadap empat bekas menteri berhubung rakaman video ucapan yang didakwa menimbulkan kebencian dan ketidaksetiaan terhadap institusi raja dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengerusinya, Datuk Khalil Idham Lim Abdullah berkata, laporan itu dibuat terhadap bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad.

Menurutnya, empat video itu dimuat naik di Facebook sekitar Mac lalu selepas Perikatan Nasional berjaya membentuk kerajaan.

"Ucapan tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu dilihat menanam bibit-bibit ketidaksetiaan dan kebencian terhadap institusi raja atau sultan yang merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang negara manakala ucapan Mohamad pula mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia khususnya terhadap polis yang didakwa tidak berlaku adil dalam menjalankan tugas," katanya kepada Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.

Khalil Idham Lim berkata, ucapan keempat-empat ahli Parlimen itu merupakan kesalahan serius yang boleh didakwa mengikut Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan.

"Badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain akan membuat laporan polis sama di seluruh negara dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Berkaitan: