X

Kindly register in order to view this article
!

KWSP buka semula perkhidmatan pengeluaran wang umur 50 ke atas

KWSP
A
A

KUALA LUMPUR- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyambung semula perkhidmatan Pengeluaran Umur 50/ 55/ 60 dan pengaktifan i-Akaun mudah alih bermula Rabu, 6 Mei, di cawangan-cawangan yang diluluskan di seluruh negara.

KWSP berkata, perkhidmatan itu boleh didapatkan di cawangan yang terletak di negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) termasuk Selangor dan Negeri Sembilan.

Cawangan yang terletak di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak akan kekal tutup sehingga dimaklumkan kelak, kata dana pencen itu dalam satu kenyataan hari ini.

“KWSP faham bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020 adalah satu langkah yang perlu tetapi kami juga amat bimbang apabila PKP dilanjutkan kerana ia akan menyebabkan perkhidmatan yang memerlukan transaksi bersemuka seperti pengeluaran dan pengaktifan i-Akaun di cawangan akan terganggu.

“Berikutan pengumuman PKPB baru-baru ini, kami ingin mengumumkan penyambungan semula beberapa perkhidmatan ini di cawangan-cawangan yang diluluskan di seluruh negara,” kata Ketua Pegawai KWSP Tunku Alizakri Alias.

Beliau berkata, bagi menjaga kesihatan dan keselamatan ahli dan kakitangan, KWSP akan mengenakan beberapa syarat yang ketat di cawangannya antara lainnya termasuklah mengehadkan pendedahan ahli dan kakitangan sepanjang masa dengan hanya menyediakan transaksi yang mudah dan cepat yang tidak memerlukan kontak secara fizikal iaitu Pengeluaran Umur 50/ 55/ 60 dan pengaktifan i-Akaun.

Para majikan tidak dibenarkan untuk hadir di cawangan kerana semua perkhidmatan boleh dilakukan dengan menghubungi pegawai Khidmat Nasihat Majikan masing-masing dan semua ahli dikehendaki mematuhi langkah-langkah penjarakan sosial yang ditetapkan ketika hadir di cawangan.

Menurutnya, ahli hanya boleh hadir di cawangan dengan membuat janji temu melalui saluran ‘Janji Temu Online’ di laman sesawang www.kwsp.gov.my bermula Selasa, 5 Mei 2020.

“Saya memohon kemurahan hati dan kesabaran ahli agar KWSP boleh beralih kepada norma baharu ini secepat mungkin. InsyaAllah, dalam tempoh yang terdekat, kami akan dapat menyediakan keseluruhan produk kami dengan perkhidmatan yang berkualiti melalui semua saluran fizikal (cawangan, jangkauan dan kios) serta saluran elektronik (pusat perhubungan, laman sesawang dan mudah alih),” kata Tunku Alizakri.-Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus