Pasukan Liga-M sifatkan pemotongan munasabah

Gambar dari kiri: Afizal Abu Othman, Nokman Mustaffa
Gambar dari kiri: Afizal Abu Othman, Nokman Mustaffa
A
A
A

Kadar maksimum pemotongan gaji yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) disifatkan beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga-M) sebagai sesuatu yang berpatutan serta tidak terlalu memberi tekanan kepada pegawai dan pemain.

Malah Garis Panduan Pelarasan Gaji FAM itu menjadi formula terbaik kepada sebahagian pasukan yang masih belum mendapat kata putus dengan pemain selepas tempoh selama dua minggu diberikan oleh FAM dari 9 hingga 22 April lalu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata, panduan itu dilihat hadir tepat pada masanya sebagai situasi menang-menang kepada semua pihak.

“Kami di Kuala Lumpur sebelum ini hanya mencapai persetujuan selama dua bulan sahaja pemotongan gaji dengan pemain iaitu untuk bulan April (pemotongan dari lapan peratus ke 23 peratus) dan Mei (pemotongan 10 peratus ke 25 peratus).

“Setelah FAM mengeluarkan garis panduan sebegini, mungkin untuk bulan Jun ke atas kami sehingga liga boleh disambung, Kuala Lumpur akan mengikut peratus pemotongan yang FAM telah tetapkan.

“Sememangnya saya bersetuju dengan apa dibuat FAM selaku badan induk bola sepak negara sebagai orang tengah menyelesaikan isu pemotongan gaji pada situasi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Angka peratusan pemotongan itu bersesuaian dengan tahap gaji pemain dengan 30 peratus adalah satu angka maksimum yang saya rasa sudah memadai," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN] - FAM umum garis panduan pelarasan gaji

Pada Jumaat, FAM mengumumkan Garis Panduan Pelarasan Gaji FAM iaitu berkaitan penetapan kadar pemotongan gaji pemain dan pegawai untuk mana-mana pasukan atau kelab bertanding yang masih gagal mencapai persetujuan bersama selepas tamat tarikh akhir yang ditetapkan pada 22 April lalu.

Artikel Berkaitan:

Langkah itu dibuat sebagai menghormati pekeliling dan garis panduan yang telah dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 7 April lalu supaya ahli-ahli gabungannya termasuk FAM mengetuai dan membantu dalam usaha mencari penyelesaian terbaik di negara masing-masing sepanjang menghadapi situasi yang tidak menentu akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu, Setiausaha Agung Felda United FC, Afizal Abu Othman, juga senada dengan Nokman yang berasakan sudah sampai masanya semua pihak perlu memberikan kerjasama terhadap arahan diberikan oleh FAM.

Tambahnya, semua pihak tidak terkecuali menerima tempias sepanjang tempoh PKP ini ekoran penularan wabak Covid-19 dan perlu bersama-sama berkorban buat sementara waktu.

“Felda United adalah salah satu pasukan yang capai persetujuan dengan pemain sebelum tempoh diberikan FAM tentang isu pemotongan gaji dengan kadar 5 ke 20 peratus sepanjang tempoh PKP.

“Jika PKP berakhir lebih awal, kami mungkin akan menilai untuk mengikut garis panduan ini yang kami akan bawa berbincang dengan ahli lembaga pengarah pasukan.

“Untuk pasukan lain yang mungkin sukar mencari penyelesaian sehingga sekarang, garis panduan dikeluarkan FAM ini saya lihat adalah satu benda yang bagus untuk diterima semua pihak dan diharapkan pegawai serta pemain mampu berikan kerjasama,” katanya.