X

Kindly register in order to view this article
!

Pergerakan rentas negeri bermula Khamis dengan syarat

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menetapkan empat hari bermula Khamis ini untuk perjalanan rentas negeri bagi membolehkan orang ramai yang terkandas bergerak semula ke kediaman masing-masing.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, bagi yang telah membuat permohonan menerusi aplikasi mudah alih Gerak Malaysia, tempoh empat hari itu telah ditetapkan mengikut jadual dan negeri.

"Pada pergerakan 7 Mei (Khamis) adalah bagi orang ramai yang terkandas di Kuala Lumpur. Pergerakan 8 Mei (Jumaat) pula diperuntukkan untuk mereka yang berada di Perak, Johor dan Kelantan menuju ke destinasi masing-masing terutamanya di Kuala Lumpur.

“Seterusnya, pada 9 Mei (Sabtu), pergerakan ditetapkan kepada mereka yang bergerak dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka serta Pahang dan tarikh 10 Mei (Ahad) bagi yang berada di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak.

Huzir berkata, langkah itu diambil bagi mengelak orang ramai tiba di beberapa lokasi secara serentak dan mengelak kesesakan sepanjang tempoh itu.

Katanya, permohonan aplikasi berkenaan hanya tertakluk kepada orang ramai yang berada di semenanjung, sebaliknya bagi yang berada di Sabah dan Sarawak tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) negeri terbabit.

Pihaknya turut menasihatkan orang awam untuk melakukan pergerakan pada waktu malam bagi mengelak kesesakan selain mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Mengulas tentang aplikasi Gerak Malaysia, Huzir berkata, sejak 25 April sehingga 1 April, sebanyak 1.23 juta individu telah membuat memuat turun aplikasi berkenaan yang mana 503,276 daripadanya telah membuat permohonan.

"Orang ramai diminta untuk mengemaskini maklumat terkini dengan menaik taraf ke versi 2.0 bagi membolehkan pemantauan sepanjang perjalanan terbabit," katanya.

Selain itu, orang ramai juga boleh memuat turun borang kebenaran rentas negeri menerusi Facebook dan Twitter rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula hari ini.

"Borang itu perlu dicetak dan diserahkan kepada balai berhampiran untuk mendapatkan kelulusan. Bagaimanapun, orang ramai diingatkan supaya membuat temu janji terlebih dahulu bagi mengelak kesesakan. Kelulusan akan diberi pada hari sama borang itu diserahkan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus