Pembukaan pejabat cawangan TH secara berperingkat bermula esok

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan pembukaan pejabat cawangannya secara berperingkat bermula esok.

Dalam satu kenyataan hari ini, TH akan memastikan pejabat cawangan beroperasi bermula jam 10 pagi hingga 3 petang.

Menurut jurucakap TH, pembukaan operasi itu selaras dengan hasrat kerajaan merangsang semula ekonomi negara yang terjejas selepas pelaksanaan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha membendung penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Perkhidmatan yang disediakan untuk pendeposit TH terhad kepada urusan pembukaan akaun, simpanan dan pengeluaran, mengemas kini akaun dan pendaftaran haji.

"Semua urusan pengendalian haji (menerima tawaran tunai haji dan penyerahan pasport) ditangguhkan buat sementara waktu sehingga TH memperoleh keputusan rasmi berkaitan status Musim Haji 1441H/2020 daripada Kerajaan Arab Saudi," katanya hari ini.

Jurucakap TH berkata, bagi memastikan aspek kesihatan dan keselamatan sentiasa terjaga, TH akan menjalankan proses saringan suhu badan dan menyediakan cecair pembasmi kuman di setiap cawangan TH.

"Pendeposit juga dinasihatkan memakai topeng muka dan menjaga jarak sosial. Bilangan pendeposit di dalam cawangan akan dihadkan bagi memastikan jarak sosial yang efektif," katanya.

TH turut menggalakkan pendeposit menggunakan perkhidmatan perbankan elektronik melalui aplikasi THijari atau melalui perbankan internet yang ditawarkan melalui rakan perbankan strategik TH.

Artikel Berkaitan:

"TH mengucapkan terima kasih kepada semua pendeposit atas kesabaran dan kerjasama diberikan," katanya.