Peniaga rugi RM32,000 ditipu pinjaman tidak wujud

x-default
x-default
A
A
A

KUANTAN - Hasrat seorang peniaga untuk membuat pinjaman peribadi sebanyak RM50,000 tidak kesampaian apabila berdepan dengan kerugian RM32,073.99 selepas diperdaya pinjaman tidak wujud pada 26 April lalu.

Mangsa berusia 35 tahun dari daerah ini diperdaya ahli sindiket terbabit sebaik sahaja diminta untuk membuat pelbagai bayaran proses bagi mendapat pinjaman yang dipohon itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa tertarik dengan tawaran iklan itu selepas melayari laman sosial Facebook dan berurusan dengan seorang lelaki bagi mendapatkan pinjaman RM50,000.

"Suspek memaklumkan pinjaman akan diluluskan tetapi perlu membuat pembayaran wang proses bagi melengkapkan proses pinjaman tersebut.

"Mangsa kemudian membuat pembayaran pertama telah memindahkan wang berjumlah RM1,390.69 melalui transaksi dalam talian ke dalam satu akuan yang tidak dikenali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun menurutnya, selepas itu suspek meminta mangsa membuat lagi pembayaran bagi proses kelulusan pinjaman terbabit.

"Tanpa berfikir panjang mangsa telah melakukan pemindahan wang sebanyak 10 kali iaitu sebanyak RM 30,683.30 ke dalam dua akaun yang diberikan suspek.

"Kesemua transaksi ini dilakukan dengan melalui mesin deposit tunai (CDM) dan secara dalam talian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Wazir berkata, selepas membuat kesemua pembayaran wang proses, suspek meminta mangsa memasukkan wang lagi.

"Mangsa yang berasa dirinya ditipu tidak lagi memasukkan wang tersebut dan segera membuat laporan polis," katanya.