Nik Abduh, Azizah Dun antara lima Pengerusi baharu

Nik Mohamad Abduh Nik Aziz dan Azizah Mohd Dun.
Nik Mohamad Abduh Nik Aziz dan Azizah Mohd Dun.
A
A
A

PUTRAJAYA - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz dan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun antara lima individu dilantik sebagai pengerusi agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar baharu berkuat kuasa hari ini.

Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Parlimen Bachok dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Selatan (Kesedar) manakala Azizah dilantik sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) baharu selama dua tahun hingga 30 April 2022.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dalam satu kenyataan hari ini berkata, Azizah menggantikan Hasnita Hashim yang ditamatkan perkhidmatan selepas hanya 18 bulan memegang jawatan itu.

Terdahulu, Hasnita pernah menjadi pengerusi Maybank Asset Management Group dan ahli lembaga pengarah Maybank Banking Berhad.

Sementara itu, Nik Mohamad Abduh pula menggantikan Sazmi Miah dari Bersatu yang menjawat jawatan itu sejak Oktober 2018.

Razali Idris (kiri),Mohd Salim Mohd Sharif dan Che Zakaria Mohd Salleh
Razali Idris (kiri),Mohd Salim Mohd Sharif dan Che Zakaria Mohd Salleh

Selain Azizah dan Nik Mohamad Abduh, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif dari Bersatu turut dilantik sebagai pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Che Zakaria Mohd Salleh dilantik Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) manakala Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Senator Razali Idris turut dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Terengganu Tengah (Ketengah).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menyentuh tentang pelantikan tersebut, Abd Latiff berkata ia dibuat setelah mengambil kira keupayaan kepimpinan, pengalaman dan sumbangan mereka kepada rakyat.

“KPLB bertanggungjawab dan terus komited melaksanakan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) untuk mendepani norma baru dalam penyampaian perkhidmatan berimpak tinggi sesuai agenda pembangunan luar bandar yang holistik, inklusif dan mampan.

“Tahniah di atas pelantikan ini dan diharap dapat memberikan perkhidmatan yang cemerlang untuk kemajuan agensi pada masa akan datang,” katanya.