Bank perlu berkorban, jangan kenakan kadar faedah: PH

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Pendirian Bank Negara Malaysia (BNM) dan Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) berhubung kadar faedah bagi moratorium pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap hanya mengukuhkan persepsi sektor perbankan tidak peduli nasib rakyat yang semakin tertekan.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan bersama oleh Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad dan Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong itu turut kesal kerana tiada penyelarasan di antara ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac lalu dengan kenyataan BNM semalam.

"Pada ketika negara berhadapan penularan wabak Covid-19 dan keadaan ekonomi mencabar seperti hari ini, sektor perbankan sepatutnya turut sama berkorban demi kepentingan negara dan rakyat," kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu turut menyebut sektor perbankan perlu lebih prihatin dengan nasib rakyat kerana terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpanjangan dan keadaan ekonomi yang tidak stabil.

“Kami yakin bahawa dasar sebegini, walaupun menjejas kadar keuntungan bank dalam jangka masa pendek tidak akan menyebabkan sektor bank kerugian dalam jangka masa panjang,” kata kenyataan itu.

Dalam masa sama, Majlis Setiausaha PH turut menggesa Menteri Kewangan mengarahkan BNM dan ABM mempertimbangkan semula pendirian mengenakan kadar faedah serta menuntut bank tidak mengenakan faedah dalam tempoh moratorium.

Artikel Berkaitan: