Banyakkan bersabar harungi cabaran Covid-19, titah Sultan Johor

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menyeru semua pihak khususnya golongan pekerja supaya banyak bersabar dalam mendepani cabaran akibat kesan wabak koronavirus (Covid-19).

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam laman Facebook baginda sempena Hari Pekerja hari ini, Sultan Ibrahim turut bertitah agar semua pihak bersama-sama berdoa ke hadrat ALLAH SWT bagi dikurniakan keberkatan dan kerahmatan.

“Setiap tahun kita meraikan Hari Pekerja sebagai mengiktiraf dan menghargai sumbangan pekerja yang bersama-sama menjana kemajuan serta pembangunan negara, begitu juga di Johor.

“Namun, tahun ini amat mencabar buat semua khususnya golongan pekerja yang turut terkesan akibat wabak Covid-19.

“Banyakkan bersabar dan bersama kita berdoa ke hadrat ALLAH AWT semoga kita dikurniakan keberkatan dan kerahmatan olehNya,” titah baginda menerusi laman Facebook berkenaan.

Sultan Ibrahim bertitah baginda juga sentiasa berdoa agar rantaian jangkitan Covid-19 akan berakhir dengan segera.

Sementara itu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman Facebook HRH Crown Prince of Johor, turut meminta semua pihak bersama-sama mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pekerja barisan hadapan yang terus berjuang bagi memastikan kesinambungan masyarakat, bersempena Hari Pekerja, hari ini.

Tunku Ismail bertitah dalam kesukaran menghadapi ujian Covid-19, semua pihak diminta supaya tidak melupakan pekerja barisan hadapan yang terpaksa berkorban demi kesihatan dan keselamatan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

“Mereka ini ibarat adiwira, iaitu barisan doktor, jururawat, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawam Malaysia (RELA) serta termasuk juga yang seangkatan dengan mereka. Tanpa adiwira-adiwira ini, kita mungkin tidak dapat hidup dengan aman dan sejahtera.

“Saya juga percaya pandangan masyarakat terhadap golongan pekerja seperti pembantu kedai, pemandu grab, tukang cuci serta pengawal keselamatan telah berubah sejak Covid-19 ini bermula. Selama ini mereka dipandang rendah, tetapi hari ini merekalah yang menggerakkan ekonomi dan membantu masyarakat meneruskan kehidupan.

“Tunjukkan penghargaan anda walaupun dengan tindakan yang kecil seperti ucapan terima kasih. Selamat Hari Pekerja kepada semua!,” titah Tunku Ismail.-Bernama