Saingan Liga-M disambung semula September ini

Ab Ghani Hassan
Ab Ghani Hassan
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) merancang untuk menyambung semula saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada September ini selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akibat pandemik Covid-19.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan MFL sebentar tadi, perancangan baharu tersebut dibuat berpandukan kepada maklum balas Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta perbincangan bersama rakan kongsi liga.

"MFL merancang untuk meneruskan Liga Super, Liga Premier pada 1-2 September dan akan berakhir pada 26-27 September dengan saingan secara separuh liga sahaja. Menerusi format itu, liga akan bersambung dari perlawanan kelima hingga perlawanan ke-11 dengan semua perlawanan mengikut jadual asal seperti yang telah ditetapkan.

"Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17-18 Oktober dan akan berakhir pada 7 November manakala Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan.

"Format pertandingan Piala Malaysia akan dirombak di mana tiada saingan peringkat kumpulan dengan saingan 16 pasukan akan berlangsung secara kalah mati satu pusingan termasuk suku akhir dan separuh akhir.

"11 pasukan terbaik Liga Super dan lima pasukan terbaik Liga Premier (kecuali pasukan Reserve Team) yang layak beraksi dalam saingan Piala Malaysia akan diundi untuk menentukan perlawanan awal dan juga pasukan tuan rumah," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, semua pasukan akan memulakan sesi latihan pada Ogos mengikut prosedur operasi standard (SOP) latihan dan perlawanan Liga-M yang akan dikeluarkan oleh FAM dan MFL.

"Setiap perlawanan akan diadakan mengikut SOP perlawanan tanpa penonton seperti yang ditetapkan oleh MKN dan KKM.

Artikel Berkaitan:

"Tiada tempoh perpindahan pemain dibuka pada pertengahan Liga-M jika saingan bermula pada September.

"Saingan Liga-M akan dibatalkan jika MKN, KKM dan KBS tidak membenarkan perlawanan bersambung semula sehingga September.

"Status Liga M3 akan diputuskan pada Jun 2020 memandangkan banyak faktor sedang dikaji dan diperhalusi kerana perlawanan saingan kelab amatur itu diadakan di padang terbuka," kata kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, hasil perbincangan MFL bersama pemegang taruh positif dalam usaha meneruskan kembali saingan Liga Malaysia bagi musim 2020 namun segala perancangan itu masih tertakluk kepada arahan dan saranan terbaharu daripada MKN, KKM dan KBS.

“MFL menghormati pandangan pelbagai pihak mengenai status perjalanan Liga Malaysia musim ini, tetapi MFL sudah mengkaji dan meneliti secara mendalam bagi menyusun semula kalendar baharu Liga Malaysia.

“Kita sedia maklum bahawa ramai pihak bergantung kepada sumber ekonomi mereka dalam industri bola sepak tanah air. Justeru ketika ini, MFL masih berpandangan positif untuk memulakan kembali saingan liga yang terpaksa ditangguhkan selepas kerajaan mengeluarkan arahan PKP pada 18 Mac lalu," katanya.

Menurutnya, berdasarkan perancangan baharu tersebut, jika pertandingan Liga Super, Liga Premier dan Piala Malaysia dapat diteruskan, maka MFL menetapkan juara Liga Super kekal untuk meraih slot automatik ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2021 manakala juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super akan mendapat slot ke Piala AFC 2021.

Bagaimanapun jika MKN, KKM dan KBS masih tidak membenarkan saingan Liga Malaysia diteruskan sehingga September 2020, kelayakan pasukan Liga Malaysia ke pertandingan kelab anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2021 ditentukan berdasarkan merit dengan juara Liga Super 2019 akan mendapat slot automatik ACL 2021 manakala naib juara Liga Super dan juara Piala FA 2019 akan mendapat slot ke Piala AFC 2021.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa pelan perancangan itu akan dikaji semula pada Jun depan berdasarkan perkembangan semasa wabak Covid-19.

“Kita akan memantau situasi semasa isu wabak dan akan mengemukakan permohonan semula mengenai perancangan jadual Liga-M berdasarkan arahan terbaharu MKN, KKM dan KBS pada Jun nanti.

“Pihak MFL juga akan menitikberatkan soal keselamatan semua pihak yang terlibat dengan SOP perlawanan lebih ketat mengikut saranan MKN, KKM dan KBS andai Liga-M dapat diteruskan seperti yang dirancangkan itu," katanya.