Subsidi upah RM1.57 bilion kepada majikan diluluskan

Saravanan
Saravanan
A
A
A

KUALA LUMPUR- Subsidi upah RM1.57 bilion kepada majikan diluluskan Sebanyak 221,170 majikan setuju kekalkan 1.79 juta pekerja Kerajaan telah meluluskan sebanyak RM1.57 bilion subsidi upah kepada majikan-majikan di Malaysia sebagai usaha mengekalkan pekerjaan dan mengelakkan pembuangan pekerja susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19 sejak 45 hari lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan memberitahu, setakat 24 April lalu, pihaknya menerima 221,170 permohonan daripada majikan membabitkan 1.79 juta pekerja.

“Saya percaya program subsidi upah ini banyak membantu mengurangkan implikasi Covid-19 kepada majikan dan pekerja yang terjejas khususnya dalam memastikan pekerja masih mempunyai pekerjaan.

“Sekiranya program ini tidak dilaksanakan, dikhuatiri ia akan memberi kesan yang amat negatif kepada pasaran buruh negara,” katanya kepada Sinar Harian dalam wawancara menerusi e-mel semalam.

Program subsidi upah untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) itu diperkenalkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac 2020 lalu.

Ia merupakan bantuan kewangan bernilai antara RM600 hingga RM1,200 yang dibayar kepada majikan bagi setiap pekerja tempatan yang bergaji bulanan RM4,000 dan ke bawah hanya untuk tempoh tiga bulan.

Antara syarat yang ditetapkan untuk majikan yang mendapat faedah daripada program ini termasuklah majikan tidak boleh membuang pekerja, majikan tidak boleh memaksa pekerja bercuti tanpa gaji dan majikan tidak boleh memotong gaji pekerja.

Selain itu, majikan perlu mengekalkan pekerja mereka sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan iaitu tiga bulan semasa menerima subsidi upah dan tiga bulan selepas program ini dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Menurut Saravanan, program subsidi upah yang dilaksanakan telah melakar sejarah tersendiri di Malaysia memandangkan ia adalah kali pertama dasar pasaran buruh aktif diperkenalkan.

Malah, katanya, langkah itu juga meletakkan Malaysia setaraf dengan negara-negara maju lain seperti Kanada dan Australia dalam memastikan kestabilan pasaran buruh dan mengurangkan kadar pengangguran.

Wawancara penuh bersama Menteri Sumber Manusia akan disiarkan dalam Sinar Ahad hujung minggu ini.