Inspirasi al-Quran bantu golongan memerlukan

Ahmad Faizal (kanan) dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi (dua dari kanan) turut bersama Rumah Ngaji Kediaman MB Perak menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan di sekitar Ipoh baru-baru ini.
Ahmad Faizal (kanan) dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi (dua dari kanan) turut bersama Rumah Ngaji Kediaman MB Perak menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan di sekitar Ipoh baru-baru ini.
A
A
A

IPOH - Mengambil semangat al-Quran yang banyak menceritakan tentang galakan berinfak, Rumah Ngaji Kediaman Menteri Besar (MB) Perak menggerakkan inisiatif sepanjang Ramadan membantu golongan memerlukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Rumah Ngaji Kediaman Menteri Besar Perak, Rabaatun Hadayiah Harun berkata, inisiatif tersebut pada awalnya dilaksanakan dengan memberikan 20 pek keperluan makanan kepada ahli Rumah Ngaji yang terputus makanan hasil kutipan sumbangan terkumpul dalam kalangan ahli-ahli Rumah Ngaji.

Bagaimanapun, menurutnya, usaha tersebut mendapat permintaan banyak pihak yang memerlukan sumbangan sehingga mendapat perhatian pihak-pihak lain untuk menyumbang.

"Dalam al-Quran sendiri terdapat banyak ayat yang menyentuh soal infak dan sedekah. Jadi, dari situ kami terinspirasi untuk mengamalkan ayat-ayat ini dengan membantu golongan memerlukan.

"Alhamdulillah, sehingga kini lebih 1,000 keluarga yang kita telah bantu kebanyakannya di sekitar Ipoh.

"Kebanyakan yang dibantu merupakan pekerja kilang yang tidak dapat bekerja sepanjang tempoh PKP kerana kilang terpaksa ditutup selain golongan miskin yang memerlukan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Perak selain menerima sumbangan syarikat korporat seperti Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Majlis Guru Besar Negeri Perak dan beberapa orang perseorangan yang menawarkan diri untuk membantu.

Katanya, selain di sekitar Ipoh, beberapa Rumah Ngaji lain seperti di Gopeng dan Bota turut menggerakkan inisiatif sama dengan bantuan Rumah Ngaji Kediaman Menteri Besar Perak.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pasukan Rumah Ngaji yang dibantu oleh beberapa pertubuhan dan sukarelawan akan menghantar terus barang-barang keperluan asas seperti tepung, bihun, gula, telur dan sebagainya.

Katanya, pada 27 April lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut bersama-sama kumpulan Rumah Ngaji menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan di Taman Chepor Impian, Taman Chepor Damai dan Taman Chepor Indah.

Dalam pada itu, Robaatun Hadayiah berkata, aktiviti Rumah Ngaji diteruskan seperti biasa sepanjang Ramadan dengan sesi tadabbur secara dalam talian setiap hari walaupun dalam tempoh PKP.