JKJR diserap dalam JPJ berkuat kuasa esok

Kelihatan pegawai JPJ dan JKJR melaksanakan kempen advokasi kepada seorang pembonceng kanak-kanak pada Ops Khas Motosikal Bersepadu.
Kelihatan pegawai JPJ dan JKJR melaksanakan kempen advokasi kepada seorang pembonceng kanak-kanak pada Ops Khas Motosikal Bersepadu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) diserap ke dalam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkuat kuasa esok bagi memperkasa serta memantapkan lagi jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pengangkutan.

Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan hari ini memaklumkan penyerapan peranan dan fungsi JKJR itu mengikut peruntukan undang-undang berkaitan pengangkutan jalan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan.

Menurut kenyataan itu, penyerapan JKJR ke dalam JPJ tidak melibatkan pembuangan kakitangan.

"Sebaliknya kakitangan JKJR akan terus berkhidmat di JPJ bagi menjalankan tugas sebagai peneraju advokasi keselamatan jalan raya demi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya serta mengurangkan kadar kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya.

"Para petugas akan terus memainkan peranan sebagai penyelaras bagi inisiatif-inisiatif baharu ke arah peningkatan keselamatan jalan raya," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, kementerian mengharapkan penyerapan berkenaan akan menambah baik dan mempertingkatkan lagi urus tadbir jabatan khusus dalam soal keselamatan jalan raya sekali gus membawa manfaat kepada rakyat Malaysia.- Bernama

Artikel Berkaitan: