Lampu biru hiasi Wilayah Persekutuan bermula esok

Annuar
Annuar
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Wilayah Persekutuan akan diterangi dengan lampu biru bermula esok sehingga 3 Mei bagi menghargai petugas barisan hadapan yang berkhidmat dalam menangani wabak koronavirus (Covid-19).

Program dikenali Light It Blue atau Limpahan Lampu Biru akan diadakan bermula jam 10.30 malam hingga 1 pagi.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, tujuan utama program ini adalah sebagai tanda ucapan terima kasih terhadap pengorbanan, kecekalan, kesungguhan, jasa dan keringat pasukan barisan hadapan baik di sektor awam, swasta serta sukarelawan yang bertugas tanpa sempadan memerangi wabak Covid-19 untuk rakyat Malaysia.

“Ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan menzahirkan tanda penghargaan dan solidariti kepada semua petugas barisan hadapan negara khususnya di Wilayah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Menurutnya, bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, kekuatan petugas barisan hadapan termasuk petugas kesihatan dan keselamatan adalah berjumlah 13,126 orang manakala di Wilayah Persekutuan Labuan pula adalah seramai 1,272 orang.

“Ini termasuk petugas dari Kementerian Wilayah Persekutuan, Majlis Keselamatan Negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya, Perbadanan Labuan,Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan lain-lain lagi.

“Jumlah ini tidak termasuk petugas perubatan dan bukan perubatan di sektor swasta, sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Menurut Annuar, pelaksanaan program Light It Blue ini melibatkan bangunan ikonik dan jalan-jalan protokol di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Artikel Berkaitan:

“Pemilihan warna biru adalah kerana merupakan warna rasmi bidang perubatan yang membawa maksud kredibiliti, pengetahuan, kepercayaan dan fokus,” katanya.

Annuar berkata, sebanyak 38 buah bangunan dan kawasan terpilih dinyalakan dengan lampu biru ini sebagai simbolik penghargaan seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, orang ramai juga digalakkan untuk memasang lampu biru di kediaman masing-masing tetapi bukan satu kewajiban memandangkan semua pihak perlu mematuhi arahan semasa PKP namun orang ramai boleh berkongsi kreativiti mereka di laman sosial menggunakan hashtag #LightItBlueWP dan #LimpahanLampuBiruWP.

“Ini sebagai tanda sokongan kepada pasukan barisan hadapan serta diri sendiri yang mengamalkan norma budaya kehidupan baharu, penjarakan sosial dan mengelakkan perkumpulan beramai-ramai dalam memutuskan rantaian wabak Covid-19 ini.

“Semoga pasukan barisan hadapan negara terus tabah, berdedikasi dan mengekalkan kecemerlangan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia khususnya kepada para pesakit,” katanya.

Tambahnya, rakyat perlu menang dalam misi ini dan pasti menang sekiranya semua memberi kerjasama untuk kekal berada di rumah.