Wan Azizah jawab ke mana perginya AS$50 juta

Dr Wan Azizah Wan Ismail
Dr Wan Azizah Wan Ismail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan wang sumbangan AS$50 juta oleh Qatar bagi bantuan kepada pelarian Rohingya di Malaysia disalurkan terus kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) terlibat.

Menurutnya, wang ini diserahkan kepada Qatar Charity (QC) manakala Yayasan Kebajikan Negara (YKN), sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, ialah badan penyelaras bagi bantuan tersebut selaras dengan satu keputusan Kabinet pada 5 April 2019.

Katanya, Kabinet pada ketika itu juga melantik Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai pengerusi jawatankuasa pemantau bagi program ini dan melapor terus kepada satu jawatankuasa tertinggi yang Dr Wan Azizah pengerusikan sehingga 23 Februari 2020.

"Apabila Pakatan Harapan (PH) mengambilalih Putrajaya pada Mei 2018, kami dimaklumkan akan hasrat Qatar untuk menyalurkan bantuan ini sejak 2016 lagi, dan kami bersyukur dapat menjadikannya satu kenyataan dalam tempoh tidak sampai 18 bulan selepas kami ke Putrajaya.

"Bantuan kemanusiaan pelarian Rohingya di Malaysia ini menggunakan peruntukan Qatar Fund for Development (QFFD) dalam tiga sektor, iaitu kesihatan, pendidikan dan mandiri kehidupan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Wan Azizah menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin.

Selain itu, Dr Wan Azizah berkata, bagi pelaksanaan sektor kesihatan, satu perjanjian projek telah dimeterai pada 13 September 2019 di antara YKN, QC dan tiga buah NGO yang terlibat dalam sektor ini, iaitu Mercy Malaysia, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) dan Malaysia Relief Agency (MRA), dengan agensi penyelaras (iaitu YKN) telah melalui proses ketekunan yang sewajarnya.

"Perjanjian ini adalah untuk tempoh setahun sehingga 12 September 2020 dan akan disambung setiap tahun selama tiga tahun, dengan peruntukan tahunan sebanyak AS$5 juta atau AS$15 juta untuk tiga tahun.

Artikel Berkaitan:

"Bantuan dari Qatar ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan sebahagian daripada beban yang selama ini dipikul pihak kerajaan berkenaan pelarian Rohingya dan dengan itu manfaatnya dapat dialihkan kepada rakyat Malaysia.

"Saya juga menyeru kerajaan Myanmar supaya mengambil tanggungjawab ke atas eksodus besar-besaran kaum Rohingya. Tanggungjawab ini tidak sepatutnya diserahkan kepada negara-negara lain terutama negara jiran," katanya.