Sukan SEA 2021: Impian buru emas berbasikal trek lebur

 Abu Samah Abd Wahab
Abu Samah Abd Wahab
A
A
A

MALAYSIA sudah boleh melupakan hasrat memburu pingat emas dalam acara berbasikal trek pada temasya Sukan SEA 2021 di Vietnam.

Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, Vietnam selaku tuan rumah mempertaruhkan 16 pingat emas menerusi dua disiplin - lebuh raya dan basikal bukit (MTB).

“Saya tak terperanjat dengan pendirian Vietnam yang menggugurkan acara trek kerana mereka tak mahu keluarkan wang untuk membina velodrom baharu. Saya difahamkan, Korea Selatan bersedia bantu Vietnam bina velodrom baharu, namun ditolak oleh tuan rumah.

“Jadi dengan tiadanya acara trek, skuad berbasikal Malaysia berdepan tugas berat untuk menuai banyak pingat emas sekalipun acara kriterium dan lebuh raya individu serta berpasukan dipertandingkan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) percaya disiplin lebuh raya yang mempertaruh 10 pingat emas akan diadakan di kawasan pergunungan kerana Wilayah Hoa Binh khususnya Bac Can dan Bac Ninh sememangnya terkenal sebagai destinasi pelancongan berbukit di Vietnam.

“Acara kriterium, lepas beramai-ramai individu dan berpasukan elit wanita sudah pasti didominasi sepenuhnya oleh Vietnam kerana memiliki pelumba pasukan benua, Nguyen Thi That yang kini berkayuh untuk pasukan Lotto-Soudal Ladies.

“Dia juga ialah pemenang pingat emas ACC 2018 (Kejohanan Lumba Basikal Asia 2018) di Myanmar. Namun, saya percaya Jupha Somnet sebenarnya ada peluang untuk raih pingat menerusi acara lepas beramai-ramai individu wanita,” jelasnya.

Pada masa sama, Abu Samah turut mendedahkan, beliau telah mendesak Vietnam untuk menyenaraikan acara BMX freestyle dipertandingkan pada temasya dwitahunan kali ke-31 itu.

Artikel Berkaitan:

“Kita raih pingat gangsa menerusi acara BMX freestyle pada Sukan SEA 2019 di Filipina. Saya telah meminta Vietnam supaya pertimbangkan semula keputusan ini. Namun saya percaya Vietnam kemungkinan besar akan menolak desakan saya,” katanya.

PKBM kini mula merancang strategi untuk meraih sekurang-kurang dua medal menerusi acara lepas beramai-ramai lelaki dan wanita selain kriterium lelaki dan wanita, sekali gus menebus aib yang tercetus pada temasya di Manila tahun lalu.