JPJ beroperasi untuk urusan kenderaan perdagangan

Info berkaitan urusan JPJ bagi kenderaan perdagangan
Info berkaitan urusan JPJ bagi kenderaan perdagangan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka perkhidmatan kaunternya untuk urusan kenderaan perdagangan sahaja bermula hari ini.

Timbalan Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abdul Tolib Ahmad berkata, perkhidmatan kaunter itu tidak membabitkan kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing.

"JPJ membuka khidmat kaunter pada hari bekerja bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari dan membabitkan urusan pembaharuan lesen kenderaan perdagangan dan penyelesaian senarai hitam serta pembayaran saman,” katanya pada sidang media di JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.

Abdul Tolib berkata, orang ramai yang berurusan di kaunter JPJ wajib mematuhi garis panduan pencegahan Covid-19 yang ditetapkan, sekali gus memastikan kelancaran sistem penyampaian perkhidmatan.

“Orang ramai perlu mengisi borang biodata sebelum berurusan di kaunter, selain mematuhi penjarakan sosial. Kita juga mewajibkan mereka memakai topeng penutup hidung dan mulut serta menggunakan pensanitasi tangan yang disediakan di pintu masuk kaunter.

“Kita juga melaksanakan pemeriksaan suhu, jika mendapati ada individu yang demam, mereka disarankan untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan di klinik kesihatan berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, seramai lapan orang sahaja dibenarkan masuk dalam satu masa untuk berurusan di kaunter.

“Selebihnya akan tunggu di kerusi yang telah disediakan. Mereka juga disarankan datang secara berseorangan untuk berurusan di kaunter JPJ. Orang ramai digalakkan untuk menggunakan kaedah pembayaran secara atas talian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Tolib berkata, bagi pemandu kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing, pengecualian pembaharuan Lesen Kenderaan Bermotor (LKM) dan Lesen Memandu (Vokasional dan Lesen Memandu Malaysia) masih berkuat kuasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagi urus niaga di kaunter membabitkan perkhidmatan JPJ yang lain, arahan pembukaan akan dimaklumkan berdasarkan perkembangan semasa pandemik Covid-19 serta keputusan kerajaan mengenai PKP," katanya.