Itu video lama lah!

Tangkap layar rakaman video tular menunjukkan penjaja warga asing menjalankan perniagaan didakwa di sekitar kawasan Pasar Selayang.
Tangkap layar rakaman video tular menunjukkan penjaja warga asing menjalankan perniagaan didakwa di sekitar kawasan Pasar Selayang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakaman video tular menunjukkan beberapa warga asing bebas berniaga di sekitar Pasar Harian Selayang disahkan sebagai video lama yang ditularkan kembali.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi satu kenyataan memaklumkan, penyebaran semula video terbabit oleh pihak tidak bertanggungjawab dipercayai dengan niat untuk menjejaskan reputasi DBKL.

Menurut kenyataan itu, DBKL sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab dengan mengenakan tindakan ke atas penjaja tanpa lesen dari semasa ke semasa.

“Merujuk kepada penularan sebuah video yang mengaitkan DBKL dengan aktiviti perniagaan di Pasar Harian Selayang, DBKL ingin menegaskan bahawa video tersebut adalah video lama yang sengaja ditularkan kembali.

“Untuk makluman video tersebut bukan dirakam di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur sebaliknya rakaman dibuat di sekitar Pasar Harian Selayang sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, dalam situasi terkini penularan video lama serta berita tidak sahih tidak wajar berlaku.

“DBKL menasihatkan pihak yang menularkan video terbabit untuk menghentikan tindakan tidak bertanggungjawab bagi mengelakkan dari dikenakan tindakan.

“Kawasan persekitaran Pasar Harian Selayang kini berada pada tahap yang amat memuaskan ekoran tindakan penguatkuasaan yang berterusan dilaksanakan oleh DBKL sebelum PKP dilaksanakan lagi,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 57 saat menunjukkan warga asing menjual sayur-sayuran di atas jalan didakwa di Pasar Selayang.

Rakaman itu turut menunjukkan perniagaan dijalankan di sekitar kawasan yang kotor dengan sisa sayuran dan buah-buahan.